NEW DELHI: Hujan lebat dan ribut yang melanda beberapa kawasan di India dan Nepal mengorbankan sekurang-kurangnya 70 nyawa, selain menyebabkan banjir serta tanah runtuh yang menjejaskan ribuan penduduk.
Di India, seramai 56 orang dilaporkan maut akibat bencana itu, manakala 46 lagi cedera dan lebih 1,000 rumah mengalami kerosakan.
Pesuruhjaya Bantuan Negeri Uttar Pradesh, Hrishikesh Bhaskar Yashod, berkata negeri itu merekodkan taburan hujan sebanyak 66.5 milimeter antara 25 Sept hingga pagi 27 Sept, jauh melebihi paras normal 7.6 milimeter bagi tempoh sama.
Pihak berkuasa sedang menjalankan operasi menyelamat di kawasan yang dilanda banjir, selain mengagihkan bantuan kepada mangsa.
Pegawai daerah turut diarahkan menilai kerosakan tanaman dan menyalurkan pampasan kepada mereka yang terjejas.
Suruhanjaya Air Pusat India memaklumkan 30 stesen pemantauan sungai di tujuh negeri menunjukkan situasi kritikal, dengan beberapa sungai utama termasuk Ganga, Gandak, Kosi, Bagmati dan Narmada melepasi paras bahaya.
Di Nepal, sekurang-kurangnya 14 orang maut manakala 11 lagi masih hilang akibat banjir dan tanah runtuh.
Pihak berkuasa negara itu mengeluarkan amaran kemungkinan berlaku banjir kilat di 49 daripada 77 daerah, dengan lebih separuh kawasan berkenaan berisiko tinggi dilanda banjir susulan peningkatan paras air di sungai-sungai utama dan anak sungainya.
Jurucakap Pihak Berkuasa Kebangsaan Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Nepal, Shanti Mahat, berkata daerah Rasuwa dan Nuwakot, yang terjejas teruk akibat banjir bulan lalu, perlu terus berwaspada walaupun tidak dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi ketika ini.
Gangguan bekalan elektrik turut melanda daerah Manang, Mustang, Myagdi dan Baglung, manakala usaha memulihkan bekalan sedang dijalankan.
Menurut Menteri Sumber Air dan Tenaga Nepal, Biraj Bhakta Shrestha, banjir Sungai Rahuganga merosakkan struktur serta menara talian penghantaran sebuah projek hidroelektrik berkapasiti 40 megawatt.
Selain itu, perkhidmatan telekomunikasi di beberapa kawasan Nepal turut terganggu akibat kerosakan pada kabel gentian optik dan sistem bekalan elektrik.
Dalam kejadian berasingan, 10 pekerja tempatan dilaporkan hilang selepas runtuhan salji menimbus kem pangkalan Gunung Himlung Himal setinggi 7,126 meter di daerah Manang, utara Nepal.
Menurut pegawai pendakian, mereka sedang memasang khemah bagi pendaki asing ketika kejadian berlaku. Tiada pendaki asing berada di lokasi semasa runtuhan salji itu.