BELGRADE: Presiden Serbia, Aleksandar Vucic, mengumumkan peletakan jawatannya selepas lebih setahun berdepan protes besar-besaran yang diterajui pelajar susulan dakwaan rasuah dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap pentadbirannya.
Dalam ucapan kepada penyokong di hadapan bangunan presiden di Belgrade, Vucic berkata pentadbirannya berjaya mengekalkan keamanan dan kestabilan sepanjang sembilan tahun beliau menerajui negara itu.
Vucic sebelum ini telah mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan pada Jun lalu dan kini dijangka menjadi calon perdana menteri bagi Parti Progresif Serbia dalam pilihan raya parlimen yang akan datang.
Perlembagaan Serbia tidak membenarkannya bertanding untuk penggal ketiga sebagai presiden.
Gelombang protes terhadap kerajaan tercetus susulan tragedi bumbung stesen kereta api Novi Sad yang runtuh pada 2024 sehingga mengorbankan 16 nyawa.
Insiden itu mencetuskan kemarahan rakyat yang mendakwa ia berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan amalan mengabaikan aspek keselamatan, sekali gus menjadi simbol ketidakpuasan hati terhadap pemerintahan Parti Progresif Serbia yang diterajui Vucic sejak lebih sedekad lalu.
Protes yang melibatkan pelajar, guru, pekerja dan petani berterusan sepanjang tahun ini, malah bertukar tegang selepas timbul dakwaan penggunaan kekerasan oleh polis terhadap penunjuk perasaan.
Menurut perlembagaan negara itu, pilihan raya presiden perlu diadakan dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan selepas peletakan jawatan presiden.
Vucic berkata pilihan raya presiden akan berlangsung lebih sebulan selepas pilihan raya parlimen mengejut yang dijadualkan pada akhir Oktober.
Ini bermakna rakyat Serbia akan mengundi dua kali sebelum penghujung tahun.
Speaker Parlimen, Ana Brnabic, akan memangku jawatan presiden sehingga seorang presiden baharu dipilih.
Sebelum berundur, Vucic turut menggunakan kuasa perlembagaannya untuk memberikan pengampunan kepada 49 individu, termasuk 23 pelajar dan beberapa penyokong partinya yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan berkaitan siri kejadian sepanjang satu setengah tahun kebelakangan ini.
Pilihan raya parlimen akan menyaksikan saingan antara Parti Progresif Serbia pimpinan Vucic dengan gerakan antirasuah diterajui pelajar, "Students Win", serta gabungan parti pembangkang pro-Barat yang dikenali sebagai "European Serbia".
Vucic merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam politik Serbia sejak lebih sedekad lalu.
Beliau menjadi perdana menteri pada 2014 sebelum dipilih sebagai presiden pada 2017.
Sepanjang pentadbirannya, beliau menyatakan hasrat untuk membawa Serbia menyertai Kesatuan Eropah (EU) sambil mengekalkan hubungan rapat dengan Rusia dan menggalakkan pelaburan dari China.