COLOMBO: Panel Mahkamah Tinggi Sri Lanka yang dianggotai tiga hakim pada Jumaat menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Ketua Polis Negara Pujith Jayasundara selepas keputusan majoriti mendapati beliau bersalah kerana gagal menghalang serangan pengganas tragedi Easter Ahad 2019 walaupun menerima maklumat risikan lebih awal, lapor Xinhua.
Mahkamah mensabitkan Jayasundara atas tuduhan cuai dalam menjalankan tugas serta bersubahat dalam pembunuhan susulan kegagalannya bertindak terhadap amaran bahawa pengebom bunuh diri merancang menyerang gereja Katolik dan hotel pelancongan di Colombo serta kawasan sekitarnya.
Hakim Priyantha Liyanage dan Thilakaratne Bandara menyampaikan keputusan majoriti, manakala Hakim Viraj Weerasuriya mengemukakan penghakiman yang berbeza.
Ketika membacakan keputusan majoriti, Hakim Liyanage berkata Jayasundara merupakan Ketua Polis Negara ketika kejadian dan bertanggungjawab melindungi rakyat serta memastikan keselamatan awam.
Mahkamah memaklumkan bahawa Nilantha Jayawardena, yang ketika itu merupakan Pengarah Perkhidmatan Risikan Negara, telah memaklumkan kepada Jayasundara pada petang 20 April 2019 bahawa serangan bunuh diri dijangka menyasarkan gereja Katolik dan hotel pelancongan pada keesokan harinya.
Bagaimanapun, Jayasundara gagal mengambil langkah bagi menghalang serangan itu, menurut mahkamah.
Keputusan majoriti menyatakan Jayasundara telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pegawai kerajaan yang bertanggungjawab mencegah jenayah dan melindungi orang awam.
Panel hakim menjatuhkan hukuman mati selepas mengambil kira tahap keseriusan kesalahan berkenaan.
Dalam penghakimannya yang berbeza, Weerasuriya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan terhadap Jayasundara melampaui keraguan munasabah dan berpendapat beliau sepatutnya dibebaskan.
Mahkamah mengambil masa lebih empat jam untuk membacakan penghakiman itu.
Kemudian pada hari yang sama, mahkamah turut mendapati bekas Setiausaha Pertahanan Hemasiri Fernando bersalah kerana gagal bertindak terhadap amaran risikan menjelang serangan pengganas 2019 itu dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.
Siri pengeboman terancang yang berlaku pada 21 April 2019 itu mengorbankan lebih 260 orang dan mencederakan lebih 500 yang lain, menurut penghakiman berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA