Skip to main content

Dunia

Belanda isytihar kekurangan air secara rasmi susulan kemarau berterusan

A woman is silhouetted as she holds a portable fan during a heatwave hitting the country, while a code red alert is issued, in Amsterdam, the Netherlands, June 26, 2026. REUTERS/Nicolas Economou
Rijkswaterstaat menyatakan bahawa tiada risiko terhadap bekalan air minuman awam namun menggesa orang ramai agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh kering ini. REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Belanda secara rasmi mengisytiharkan keadaan kekurangan air pada Khamis selepas beberapa minggu dilanda kemarau berterusan, sekali gus mendorong pihak berkuasa untuk meningkatkan tahap tindak balas kemarau kebangsaan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik stesen penyiar awam Belanda, NOS.

Kementerian Infrastruktur dan Pengurusan Air meningkatkan tahap tindak balas kepada Tahap 2 susulan nasihat daripada Jawatankuasa Penyelarasan Pengagihan Air Kebangsaan, memandangkan masalah kekurangan air itu dijangka berlarutan dalam beberapa minggu akan datang.

Di bawah langkah berkenaan, keutamaan akan diberikan untuk melindungi benteng tebatan banjir dan benteng yang sensitif terhadap kemarau, diikuti oleh bekalan air minum dan pengeluaran tenaga.

Pihak berkuasa wilayah dilaporkan akan memutuskan sama ada sekatan tambahan diperlukan, manakala wilayah Limburg mengehadkan penggunaan air permukaan untuk tujuan termasuk pengairan tanah pertanian.

Rijkswaterstaat, agensi eksekutif bagi Kementerian Infrastruktur dan Pengurusan Air Belanda, menyatakan bahawa tiada risiko terhadap bekalan air minuman awam namun menggesa orang ramai agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh kering ini.

Aliran masuk air sungai ke Belanda di Lobith menyusut ke paras terendah sejak 1976.

Jawatankuasa Penyelarasan Pengagihan Air Kebangsaan memaklumkan yang kekurangan air kali ini adalah lebih serius berbanding kebiasaan dan memberi amaran bahawa risiko kemarau meningkat sejak beberapa dekad kebelakangan ini akibat perubahan iklim.

Kali terakhir Belanda meningkatkan tindak balas kemarau kepada Tahap 2 adalah pada Ogos 2022. Tahap amaran tertinggi, iaitu Tahap 3, kali terakhir diisytiharkan adalah pada 2003.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement