KISAH seorang lelaki Jepun yang tidak bekerja tetapi mempunyai empat isteri, Ryuta Watanabe telah mendapat perhatian umum.

Watanabe, 35, menjadi sensasi selepas muncul dalam program berita televisyen Jepun, Abema Prime.

Dia mengaku sudah tidak bekerja selama 10 tahun dan empat isteri yang dikahwini menjadi tulang belakang mencari nafkah sementara dirinya menjalankan tanggungjawab sebagai ‘suri rumah’ dengan menguruskan tiga anak hasil perkahwinan campur dan rumah mereka.

Pengakuan tersebut menuai kontroversi kerana Jepun mengharamkan poligami dan seorang lelaki menguruskan rumah tangga juga bukan hal biasa di negara Matahari Terbit itu.

Namun Watanabe mempunyai alasan mengapa dia berkahwin banyak. Menurut lelaki tersebut dirinya terlalu menyukai wanita.

“Saya seorang lelaki yang suka perempuan. Saya tertarik dengan perempuan dalam semua situasi.

“Ia seperti seorang pencinta anjing akan bersimpati terhadap haiwan itu. Jika anda menjaga seekor anak anjing, anda tidak mahu membela yang lain?

“Begitulah saya, saya mencintai dan menyayangi perempuan sama rata. Poligami bukan satu masalah,” kata Watanabe seperti dilaporkan odditycentral.com.

Watanabe kini menetap bersama tiga daripada empat isteri di Sapporo dan kesemua isterinya tidak mempunyai masalah berkahwin dengan lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan.

Malah isteri-isterinya yang berusia antara 22 sehingga 27 tahun perlu memastikan perbelanjaan bulanan sebanyak RM27,277 dapat dicapai.

Bagi Watanabe hidup berpoligami dengan empat isteri lebih kepada hubungan seperti sahabat.

Isteri-isterinya juga memuji Watanabe sebagai seorang lelaki yang hebat, kuat dan menakjubkan. - Gempak