Ringkasan AI
- Kementerian Kerja Raya melaksanakan Projek Lebuhraya Trans Borneo Seksyen Miri dan menaik taraf Jajaran Redline Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak.
- Projek LTB Seksyen Miri sepanjang 4.95 kilometer bernilai RM136.1 juta dijadualkan bermula Oktober 2026 dan siap pada Oktober 2029.
- Projek Redline Short Stretch melibatkan naik taraf sembilan lokasi sepanjang 17.1 kilometer dengan kos RM119.7 juta dan dijangka siap Januari 2028.
MIRI: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperkukuh jaringan infrastruktur jalan raya di Sarawak menerusi pelaksanaan Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) Seksyen Miri dan Projek Menaik Taraf Jajaran Redline Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak (Short Stretch).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perjalanan dari selatan dan tengah Sarawak ke Miri serta dari Miri ke pintu masuk sempadan dijangka lebih lancar apabila kedua-dua projek itu selesai.
“Projek Lebuhraya Trans Borneo Seksyen Miri akan meningkatkan kapasiti jalan dari Persimpangan Kuala Baram ke CIQ Sungai Tujuh.
“Di Seksyen Tudan pula, kerja naik taraf ini merupakan sebahagian daripada usahamenyeragamkan piawaian jalan di sepanjang jajaran Redline Short Stretch,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah kedua-dua projek itu yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin sebelum merasmikannya di Miri, hari ini.
Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) melibatkan tiga seksyen utama, iaitu Miri, Limbang dan Lawas, dengan jajaran sepanjang 93.25 kilometer.
Tambah Nanta, projek LTB bagi Seksyen Miri melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 4.95 kilometer daripada jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala.
“Kos kontrak projek ialah RM136.1 juta yang turut merangkumi penambahbaikan bulatan sedia ada sebelum CIQ Sungai Tujuh dimana reka bentuk baru bulatan yang efisien akan memenuhi keperluan jalan raya berkembar spesifikasi R5 dan dijangka melancarkan aliran trafik dengan lebih baik ke pintu masuk sempadan,” ujar beliau.
Projek yang bermula pada 2 Oktober 2026 itu mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan dijadualkan siap pada Oktober 2029.
Katanya, bagi Seksyen Limbang dan Seksyen Lawas pula, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah selesai menilai tender bagi kedua-dua seksyen.
Projek Redline Short Stretch pula melibatkan kerja menaik taraf jalan di sembilan lokasi di Sarawak, dengan panjang keseluruhan 17.1 kilometer.
Seksyen Tudan di laluan Miri–Kuala Baram merupakan salah satu lokasi yang terlibat.
“Kerajaan meluluskan projek itu menerusi kontrak bernilai RM119.7 juta, termasuk kerja naik taraf di Seksyen Tudan bagi memudahkan perjalanan pengguna jalan raya di kawasan Miri.
“Bagi projek ini, Surat Setuju Terima telah dikeluarkan pada 18 Ogos 2026 dan tapak telah diserahkan pada 17 September 2026.
“Dengan tempoh pelaksanaan selama 16 bulan, projek ini dijadualkan siap pada Januari 2028,” kata Nanta lagi.
Beliau juga mahu kedua-dua projek itu disiapkan nmengikut jadual dan kosnya dikawal dengan rapi.
Tambah Nanta, setiap peringkat pembinaan mesti dipantau bagi memastikan kerja memenuhi spesifikasi dan piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Saya juga meminta Jabatan Kerja Raya Sarawak, selaku agensi pelaksana, supayabekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, perunding dan kontraktor untukmenyelaras kerja di tapak serta memantau kemajuan kedua-dua projek secara berkala,” katanya.