ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang
paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 24 Ogos 2020.

1) Pengeluar TikTok mahu fail saman terhadap pentadbiran Trump

SYARIKAT pemilik aplikasi TikTok, ByteDance akan memfailkan saman ke atas pentadbiran Trump berhubung pengharaman aplikasi berkenaan di Amerika Syarikat (AS).

ByteDance dalam satu kenyataan berkata kerajaan AS tidak mempedulikan fakta, tidak mengikut proses undang-undang dan cuba campur tangan dalam rundingan syarikat komersial.


2) Pakar kenal pasti 2 ubat dipercayai mampu halang virus COVID-19

PAKAR perubatan mengenal pasti dua ubat sedia ada mampu menghalang virus SARS-CoV-2 punca penyakit COVID-19 daripada menjangkiti sel manusia.

Memetik laporan Harvard Medical School, kedua-dua ubat tersebut iaitu Vacuolin-1 dan Apilimod yang sudah dibangunkan sejak beberapa tahun lalu menyasarkan enzim ‘PIKfyve kinase’.


3) "Aku tumbuk muka kau, OK!", Presiden Brazil marah ditanya isu dana masuk akaun isteri

Presiden Brazil Jair Bolsonaro pada Ahad mengejutkan sidang media apabila dia mengugut mahu menumbuk seorang wartawan di mukanya, lapor Reuters.

Semua itu gara-gara wartawan berkenaan bertanyakan tentang sejumlah deposit yang dimasukkan ke akaun isterinya, Michelle Bolsonaro, oleh bekas pembantu salah seorang anak lelaki mereka.


4) BTS dijemput persembahkan 'Dynamite' di Perhimpunan Kesihatan Sedunia

KETUA Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menjemput kumpulan tersohor K-Pop BTS ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) yang seterusnya.

Menerusi satu ciapan di laman Twitter peribadinya, Dr Tedros menjemput septet tersebut untuk mempersembahkan lagu hit baharu mereka Dynamite di perhimpunan tahunan berkenaan.


5) Indonesia bangunkan vaksin Merah Putih untuk COVID-19

Indonesia sedang membangunkan vaksin untuk COVID-19 yang dinamakan vaksin Merah Putih, yang dijangka dikeluarkan pada pertengahan tahun 2021.

Presiden Indonesia Joko Widodo berkata, penyelidikan dan pembangunan vaksin itu sedang dilakukan Lembaga Biologi Molekuler Eijkman (LBM), menerusi kerjasama dengan syarikat dari China, dengan menggunakan DNA virus asli Indonesia.


6) COVID-19: Singapura rekod 51 baharu, tujuh kes import

Sebanyak 51 kes baharu jangkitan COVID-19 direkodkan di Singapura dalam tempoh 24 jam lalu dengan tujuh daripadanya kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu sebanyak 56,404.

Menurut data ringkas Kementerian Kesihatan Singapura hari ini, semua kes import berkenaan telah dikenakan Notis Tinggal Di Rumah sebaik tiba di Singapura.


7) COVID-19 ragut kehebatan Pulau Dewata Bali, pihak berkuasa masih 'tutup pintu'

Pulau peranginan terkenal di Indonesia, Bali yang selama ini sangat bergantung pada industri pelancongan sudah memasuki fasa kegawatan ekonomi.

Pada suku pertama tahun ini, ekonomi Bali menguncup pada 1.14 peratus sebelum menjunam kepada 10.98 peratus pada suku tahun kedua.


8) New Zealand lanjut tempoh perintah berkurung Auckland empat hari lagi

New Zealand melanjutkan tempoh perintah berkurung Auckland selama empat hari lagi.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern memaklumkan, penutupan selama dua minggu bandar terbesar di negara itu sepatutnya berakhir, namun akan berterusan hingga Ahad.