DUNIA
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 19 November 2020.
Amerika Syarikat (AS) menjangkakan 40 juta dos daripada dua vaksin akan diedarkan di seluruh negara pada akhir Disember sementara menunggu kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) ketika ini.
Setiausaha Kesihatan Amerika, Alex Azar berkata vaksin dihasilkan Pfizer dan Moderna di bawah program Warp Speed akan menyediakan dua dos vaksin kepada pekerja kesihatan dan golongan rentan di AS terlebih dahulu.
Britain akan mengharamkan penjualan kereta menggunakan bahan bakar petrol dan diesel pada tahun 2030.
Kenyataan Perdana Menteri, Boris Johnson itu dikeluarkan sedekad lebih awal berbanding komitmen dinyatakan sebelum ini.
SELEPAS hampir dua tahun digantung operasi, Pentadbiran Penerbangan Amerika meluluskan penerbangan semula pesawat Boeing 737 Max.
Pesawat berkenaan melalui proses penilaian selama 20 bulan dan juruterbang akan diberikan latihan semula.
Masa depan untuk internet terbuka kini terancam susulan tindakan beberapa buah negara yang mewujudkan sempadan digital melalui kedaulatan data dan mewujudkan dinding digital sebagai langkah perlindungan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg, tindakan perlindungan digital itu menjejaskan usaha pemulihan perniagaan dan ekonomi pasca COVID-19.
AKTOR ternama Hollywood dan pemenang Oscar, Matthew McConaughey tidak menolak kemungkinan akan membabitkan diri dalam dunia politik.
Dalam satu temu bual radio bersama pengacara Hugh Hewitt, bintang Dallas Buyers Club itu berkata akan mempertimbangkan idea melibatkan diri dalam gelanggang politik sama ada mencalonkan diri sebagai Gabenor Texas atau jawatan politik lain.
Kementerian Pertahanan Afghanistan tidak bimbang dengan pelan Washington untuk menarik keluar lebih ramai tentera Amerika Syarikat (AS) dari negara itu.
Jelas pemangku menterinya, Asadullah Khalid, mereka bersedia untuk mempertahankan negara itu sendiri.
IRAQ dan Arab Saudi pada Rabu membuka semula sempadan utama untuk perdagangan antara kedua negara selepas tiga dekad penutupannya.
Duta Besar Arab Saudi ke Iraq, Abdulaziz Khalid turut serta dalam upacara memotong reben bersama menteri dalam negeri Iraq.
Bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dijangka mengumumkan barisan petugas White House dalam masa terdekat.
Biden sebelum ini berjanji kepimpinan baharu White House nanti akan mencerminkan kepelbagaian rakyat Amerika Syarikat (AS).
KAJIAN yang mendakwa virus COVID-19 ditemui di Itali beberapa bulan sebelum ia ditemui di China telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan saintis Barat, yang menuntut kajian selanjutnya dijalankan.
“Kajian selanjutnya diperlukan untuk membuktikan antibodi yang dikesan pada sampel darah adalah antibodi terhadap virus COVID-19 dan bukan antibodi terhadap virus lain,” kata saintis di Universiti Bath, United Kingdom (UK) kepada Reuters.
Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan kembali memenuhi jalan raya hari ini, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik walaupun berlaku rusuhan menyebabkan sekurang-kurangnya 55 orang cedera dalam protes semalam.
Para penunjuk perasaan yang memakai baju hujan, topi keledar dan topeng berikutan rusuhan semalam apabila polis melepaskan meriam air dan gas pemedih mata di luar Parlimen, berkumpul di daerah perniagaan Bangkok di Ratchaprasong mengulangi tuntutan termasuk desakan supaya perdana menteri meletak jawatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami