ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 11 Mac 2021.

1. Bas terjunam ke gaung alami masalah brek, mangsa maut meningkat kepada 27

Jumlah korban mangsa dalam insiden bas terjun gaung di Indonesia pagi tadi meningkat kepada 27 orang.
Menurut pihak berkuasa pada Khamis, sejumlah 39 mangsa yang lain pula cedera dan dikejarkan ke hospital. Ia termasuk mayat seorang kanak-kanak lelaki yang terhempap pada badan bas yang terbalik.


2. Tsunami Jepun 2011: Kisah mereka yang ditinggalkan

Yasuo Takamatsu kehilangan isterinya Yuko, ketika gempa bumi dan tsunami melanda bandar Onagawa, wilayah Miyagi, 10 tahun yang lalu. Selain berusaha sendiri, Takamatsu juga menyertai pihak berkuasa tempatan sebulan sekali untuk melakukan pencarian bawah laut, bagi mengesan kira-kira 2,500 mangsa yang masih belum ditemui.

3. Varian COVID-19 UK lebih berbahaya - Kajian

Varian COVID-19 di United Kingdom (UK) yang dikesan di 47 negeri di Amerika Syarikat dikaitkan dengan kematian yang jauh lebih tinggi. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal BMJ itu mengesahkan lagi bukti yang menunjukkan bahawa varian dikenali sebagai B.1.1.7 atau VOC-202012/01 itu sangat mudah merebak, malah mungkin lebih berbahaya.

4. UNICEF perlu AS$1 bilion lagi bantu negara miskin dapatkan vaksin COVID-19

Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa negara-negara kaya untuk menyumbang dana bagi membantu blok negara miskin mendapatkan vaksin COVID-19. Jelas UNICEF pada Rabu, inisiatif ini memerlukan tambahan sekitar AS$1 bilion lagi.

5. TV Bangladesh lantik transgender sebagai pembaca berita

Sebuah syarikat TV satelit berpangkalan di Bangladesh mencipta sejarah di negara itu apabila mengambil seorang transgender sebagai salah seorang pembaca beritanya. Agensi AP dalam laporannya berkata, Boishakhi TV yang terletak di Dhaka, menzahirkan harapan agar pelantikan itu dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan berkenaan.

6. COVID-19: Kongres lulus pakej rangsangan ASD1.9 trilion

Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan pelan rangsangan COVID-19 bernilai ASD1.9 trilion pada Rabu.
Kelulusan ini dianggap kemenangan moral buat Presiden Joe Biden dan Demokrat. Ia juga permulaan bagi menguruskan perbelanjaan dalam menangani pandemik dan ekonomi di negara itu.

7. Vaksin COVID-19: EU dapat 4 juta dos tambahan daripada Pfizer

Suruhanjaya Eropah menandatangani perjanjian dengan pengeluar vaksin COVID-19, Pfizer BioNTech untuk mendapatkan tambahan empat juta dos vaksin COVID-19 bagi 27 negara anggotanya. Perjanjian yang dimeterai sebahagian usaha Kesatuan Eropah (EU) untuk mengatasi lonjakan kes di beberapa negara.

8. Konflik Syria: Lebih 10 ribu kanak-kanak terbunuh dan cedera

Konflik berpanjangan di Syria yang bakal memasuki tempoh 10 tahun ini telah membunuh dan mencederakan lebih 10 ribu kanak-kanak. Menurut UNICEF ia juga mengakibatkan jutaan kanak-kanak ini tidak menerima pendidikan di sekolah.

9. Sedekad Krisis Syria: NGO tepis kritikan, salur bantuan kepada Syria

Bagaimana mahu menjawab kritikan bahawa di saat warga tempatan perlukan bantuan, masih ramai memerlukan bantuan sebenarnya, tetapi misi kemanusiaan ke luar negara?

10. Rakyat Malaysia bebas daripada tuduhan dadah pulang ke tanah air

Rakyat Malaysia Beh Chew Boo, 38, yang terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan Singapure membebaskannya daripada kesemua lima pertuduhan membawa dadah ke Singapura dan kembali ke Malaysia sebagai lelaki yang bebas.