ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa 23 Mac 2021.

1. Serangan | Asia Amerika gesa tindakan terhadap serangan Anti Asia

Pemimpin negeri di San Francisco dan di Seattle berkumpul mengutuk kebencian dan keganansan Anti-Asia. Ia susulan serangan terhadap orang Asia dan Kepulauan Pasifik di sana yang turut dikaitkan dengan sentimen dimainkan bekas Presiden Donald Trump bahawa China penyebab pandemik COVID-19.

2. Malaysia-Singapura perhalusi proses pengiktirafan sijil vaksinasi rakyat kedua-dua negara

Kerajaan Malaysia dan Singapura akan memulakan perbincangan khusus bagi mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 yang dikeluarkan untuk rakyat masing-masing, sebagai mempermudahkan lagi perjalanan merentasi sempadan antara dua negara berkenaan.

3. Tolak Sekatan | China sifatkan isu Xinjiang penipuan terbesar

China kecam sekatan bersasar yang dikenakan UK, EU, Amerika Syarikat dan Kanada atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Xinjiang. Menurut kuasa usaha kedutaan China di UK, tuduhan ke atas China berkenaan isu Xinjiang ini adalah penipuan terbesar abad ini.

4. Konflik Yaman | Arab Saudi tawar gencatan senjata kepada Houthi

Arab Saudi umum rancangan menawarkan gencatan senjata kepada pemberontak Houthi dalam perang selama berpuluh-puluh tahun di Yaman. Percubaan itu dilihat usaha terbaharu untuk menghentikan pertempuran yang mencetus krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

5. 13 juta rakyat Chile akan dikuarantin berikutan peningkatan kes COVID-19

Kerajaan Chile pada Isnin mengumumkan lebih 13 juta penduduknya akan dikuarantin bermula khamis berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara, lapor Xinhua.

6. Tembakan rambang dalam pasar raya, 10 maut termasuk polis

Sekurang-kurangnya 10 individu dilaporkan maut dalam satu kejadian tembakan di sebuah pasar raya di Boulder, Colorado pada Isnin.

7. Banjir | Ribuan penduduk di New South Wales dipindahkan

Kira-kira 18,000 penduduk dipindahkan dari banjir di New South Wales pada Isnin. Dengan ramalam hujan berterusan hingga Rabu, perkhidmatan kecemasan bimbang jangkaan mangsa dipindahkan meningkat sehingga 54,000 orang.

8. Dua gajah cetus kekacauan di sarkas Rusia

Pelatih gajah berusaha bermati-matian untuk menguraikan pergaduhan melibatkan dua ekor gajah betina yang dipanggil Magda dan Jenny.

9. Lima maut, lebih 20,000 larikan diri kem pelarian Rohingya terbakar

Lima orang dipercayai terbunuh dan sekurang-kurangnya 20,000 lagi penduduk Rohingya melarikan diri selepas sejumlah pondok di kem pelarian etnik itu di tenggara Bangladesh terbakar, kata beberapa pegawai pada Isnin.

10. Upacara 'pindah janin' jadi helah bomoh rogol remaja hamil

Pelajar sebuah sekolah menengah di Jawa Tengah yang hamil anak luar nikah lima bulan itu telah dirogol sebanyak tiga kali selepas dia dihantar oleh keluarganya atas alasan mahu menutup aib.