ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad, 4 April 2021.

1. COVID-19: Kes positif global 130.5 juta, korban lebih 2.84 juta

JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 global kini melebihi 130 jutai berikutan pertambahan lebih 600 ribu kes dalam tempoh 24 jam yang lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling terjejas dengan lebih 30.66 juta kes.

2. Lima maut, keganasan pasukan keselamatan berterusan di Myanmar

Keganasan pasukan keselamatan Myanmar terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi berterusan.
Dalam insiden terbaharu, lima lagi dilaporkan maut, akibat ditembak.

Ini menjadikan jumlah korban penunjuk perasaan kini melepasi 550 orang.

3. Laluan perdagangan di Terusan Suez kembali normal selepas insiden Ever Given

Semua kapal kargo yang terkandas akibat insiden di Terusan Suez kembali meneruskan perjalanan.

Pihak berkuasa terusan CSA mengesahkan masalah perjalanan tertunda selesai sepenuhnya pada Sabtu.

4. Penyanyi rap DMX dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal

PENYANYI rap terkenal Hollywood, DMX, dimasukkan ke dalam hospital dan di laporkan dalam keadaan kritikal, lapor NBC New York.

DMX, atau nama sebenarnya Earl Simmons, berada di rumah kira-kira jam 11 malam pada Jumaat apabila dia mengalami serangan jantung, kata peguamnya Murray Richman namun tidak tahu punca serangan tersebut.

5. Iran desak AS tarik balik semua sekatan ekonomi menjelang rundingan nuklear

Iran mahu Amerika Syarikat (AS) menarik sekatan ekonomi secara keseluruhan dan bukan secara berperingkat.

Kenyataan ini dibuat menjelang rundingan menghidupkan semula Perjanjian Nuklear 2015 minggu depan.

6. EPL: Liverpool kembali cabar kedudukan liga

Liverpool percaya mereka kembali memberi saingan merebut kedududkan empat terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) lepas menang bergaya ke atas Arsenal 3-0.

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut anak buah Jurgen Klopp di tempat lawan.

7. Gempa bumi sederhana landa perairan Laut Banda, Indonesia

Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.8 pada skala Richter dilapor menggegarkan perairan Laut Banda, Indonesia pada 2.42 awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi itu dikesan pada kedudukan 166 kilometer (km) dari selatan Ambon, Indonesia dengan kedalaman 340 km.

8. Marvel Studios lancar trailer terbaharu filem 'Black Widow'

KETERUJAAN peminat menantikan karya terbaharu Marvel Studios "Black Widow" kembali memuncak dengan pelancaran trailer terbaharu filem itu pada Sabtu.

Lebih mengujakan, trailer berkenaan turut memberikan petunjuk bagi jalan cerita filem spin-off solo anggota wanita Avengers itu.

9. Permainan video Nintendo Super Mario Bros dilelong pada harga RM2.7 juta

HAMPIR 35 tahun terbiar dan dilupakan, salinan permainan video Nintendo Super Mario Bros yang masih dalam bungkusan, dilelong pada Jumaat dengan harga AS$660,000 (RM2.7 juta).

Ini merupakan permainan video yang dijual pada harga paling tinggi, menurut siaran berita syarikat Heritage Auctions, yang menguruskan penjualan.

10. 22 mumia era Firaun diarak di jalanan, Mesir raikan khazanah sejarah

MALAM hujung minggu di ibu negara Mesir jadi medan festival apabila sebuah perarakan gala dianjurkan, bagi meraikan warisan sejarah mereka.

Dalam limpahan cahaya dan iringan persembahan bunyi-bunyian, perarakan itu sebenarnya adalah acara pemindahan 22 mumia diraja dari pusat kota Kaherah ke tempat persemadian baharu iaitu sebuah muzium di selatan ibu negara itu.