ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 17 Disember 2021.

1. Kebakaran | 27 maut dalam kebakaran bangunan di Osaka

Sekurang-kurangnya 27 dikhuatiri maut dalam kebakaran di sebuah bangunan di kawasan membeli belah di Osaka, Jepun pada Jumaat. Siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang berlaku di tingkat empat bangunan tersebut.

2. Taufan Rai | Hampir 100,000 penduduk wilayah tenggara Filipina dipindahkan

Taufan Rai membadai tenggara Filipina pada Khamis sehingga menumbangkan pokok, menerbangkan atap dan memaksa hampir 100,000 penduduk di wilayah sekitar dipindahkan.

3. Filem Festival | Kukuh diplomasi budaya menerusi filem

Tayangan filem-filem antarabangsa mampu membangunkan diplomasi kebudayaan, sekali gus mewujudkan pendamaian antara negara.

4. Varian Omicron | Biden beri amaran menjelang musim sejuk

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden memberi amaran bahawa varian Omicron sudah tiba dan golongan yang masih belum divaksin bakal terkesan pada musim sejuk ini. Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Amerika supaya mendapat suntikan vaksin COVID-19 dan dos penggalak.

5. Tiga dos vaksin Sinovac mampu beri 94 peratus perlindungan terhadap varian Omicron

Kajian terbaharu menunjukkan tiga dos vaksin keluaran syarikat biotech Sinovac mampu menghasilkan antibodi peneutralan sebanyak 94 peratus terhadap varian COVID-19 Omicron.

6. Singapura sahkan 24 kes Omicron setakat Khamis

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesan 24 kes Omicron yang disahkan di republik itu setakat Khamis (16 Dis), dengan 21 kes import dan tiga kes tempatan.

7. Konflik Afghanistan: Saifuddin ketuai delegasi ke Mesyuarat Sesi Luar Biasa OIC

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Sesi Luar Biasa ke-17 Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Disember ini di Islamabad, Pakistan.

8. Mikroskop milik Charles Darwin cecah RM3.36 juta

Mikroskop kepunyaan Charles Darwin dilelong pada harga £598,000 di London. Lelongan itu dilakukan semasa jualan "Buku dan Manuskrip Berharga" anjuran rumah lelongan Christie.

9.Mesej akhir tahun: PBB gesa koordinasi global lawan pandemik COVID-19

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran COVID-19 tidak akan hilang. Setiausaha Agung, Antonio Guterres menekankan dunia tidak akan dapat mengalahkan pandemik itu dengan kaedah yang tidak diselaraskan.

10. COVID-19 | UK sekali lagi catat kes tinggi akibat varian Omicron

Kes baharu COVID-19 di Britain mencecah rekod tertinggi untuk hari kedua berturut-turut pada Khamis. Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty memberi amaran kemasukan ke hospital harian juga boleh mencecah kemuncak baharu disebabkan varian Omicron yang merebak pantas.