Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 1 April 2022.

1. Malaysia, Indonesia sepakat perkasa Bahasa Melayu - PM

Malaysia dan Indonesia akan terus sama-sama memperkasakan bahasa rumpun Melayu yang berkemungkinan dijadikan sebagai Bahasa ASEAN satu hari nanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

2. China anjur dialog mengenai isu Afghanistan

China pada Khamis menganjurkan Dialog Menteri Luar kerajaan sementara Afghanistan dengan negara-negara jirannya yang dipengerusikan Menteri Luar China, Wang Yi di Tunxi, provinsi Anhui.

3. Bantahan krisis ekonomi, Sri Lanka laksana perintah berkurung di ibu negara

Sri Lanka mengenakan perintah berkurung di ibu negara Colombo selepas penunjuk perasaan cuba menyerbu kediaman peribadi Presiden Gotabaya Rajapaksa.

4. Pengurusan loji tenaga nuklear Ukraine ditukar dari Moscow ke Paris

Pertubuhan Pengendali Nuklear Dunia (WANO) memindahkan Energoatom, iaitu pengendali loji tenaga nuklear Ukraine, dari Moscow, Rusia ke direktorat Paris, Perancis kata Energoatom pada Khamis.

5. Angelina Jolie lawat kanak-kanak Ukraine di hospital Rom

Pelakon Hollywood dan aktivis hak asasi manusia Angelina Jolie melawat kanak-kanak Ukraine di Hospital Bambino Gesu di Rom pada Rabu, lapor Agensi Berita Itali (ANSA) pada Khamis.

6. Selepas Chris Rock ditampar, polis sedia menahan Will Smith di Oscar

Polis Los Angeles telah dikerah dan bersiap sedia untuk menahan pelakon terkenal Will Smith ketika majlis Oscar pada Ahad lalu susulan tindakannya menampar hos Chris Rock, kata penerbit acara Hollywood itu pada Khamis.

7. MT-GT JBC Malaysia alu-alukan pembukaan sempadan Malaysia-Thailand

IMT-GT Joint Business Council Malaysia (JBC Malaysia) mengalu-alukan keputusan Kerajaan membuka dua pintu sempadan darat (Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan).

8. Krisis Rusia-Ukraine | Rusia berjaya musnahkan depoh minyak Ukraine

Rusia mendakwa serangan peluru berpandunya telah berjaya memusnahkan sebahagian besar depoh simpanan minyak Ukraine di Wilayah Rivne. Perkara itu dinyatakan jurucakap Menteri Pertahanan Rusia, Major Jeneral, Igor Konashenkov.

9. Pembunuhan Khashoggi | Pendakwaan mohon kes dipindah ke Arab Saudi

Pasukan pendakwaan memohon penggantungan kes perbicaraan tanpa kehadiran 26 warga Arab Saudi yang didakwa membunuh kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi. Penggantungan itu bagi membolehkan kes dipindahkan ke Arab Saudi.

10. Krisis Rusia-Ukraine | Zelenskyy rayu Australia tingkat bantuan

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy merayu penggubal undang-undang di Australia meningkatkan bantuan bagi menghentikan serangan Rusia ke atas negaranya. Tegasnya, tidak mustahil perang seumpama itu akan berlaku di negara-negara lain jika dunia tidak terus berusaha membawa Rusia ke muka pengadilan.