DUNIA
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 18 Jun 2025.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 18 Jun 2025.
Bekas Senator Amerika Syarikat (AS) Bob Menendez dari Parti Demokrat New Jersey, pada Selasa mula menjalani hukuman penjara 11 tahun atas kesalahan menerima rasuah dalam bentuk jongkong emas dan wang tunai serta bertindak sebagai ejen Mesir.
Kesatuan Eropah (EU) menyediakan pakej sekatan baharu yang lebih tegas dan luar biasa terhadap Rusia berhubung konflik di Ukraine, dengan sokongan daripada Presiden Perancis Emmanuel Macron dan senator AS.
Sekurang-kurangnya 32 penerbangan ke dan dari pulau peranginan Bali, Indonesia dibatalkan selepas Gunung Lewotobi Laki-Laki meletus dan memuntahkan awan abu tebal setinggi lebih 11 kilometer ke udara, menurut pegawai penerbangan dan bencana.
Hampir seorang daripada empat pelajar sekolah menengah di Australia mengalami tekanan psikologi serius, dengan kadar kemurungan dan keresahan meningkat, lapor Xinhua memetik satu kajian di negara itu.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan bahawa dua kemudahan pengeluaran pengempar di Iran telah menjadi sasaran serangan udara Israel.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan bahawa negaranya akan tetap teguh menghadapi sebarang bentuk paksaan, sama ada dalam bentuk perang mahu pun perdamaian yang dikenakan dari luar.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyatakan sokongan penuh terhadap hak Iran untuk mempertahankan diri daripada serangan Israel.
Tiada kekurangan bekalan minyak di pasaran dunia meskipun konflik di Asia Barat semakin memuncak, namun risiko yang berkaitan telah pun tercermin pada harga semasa, kata Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexander Novak pada Rabu
Sebuah mahkamah di Moscow telah mengenakan denda sebanyak 3 juta rubel (kira-kira AS$38,141) ke atas Apple kerana enggan memadam kandungan terlarang, menurut wakil mahkamah kepada RIA Novosti pada Rabu.
Seorang kanak-kanak maut di bandar pelabuhan Antwerp, Belgium pada Rabu selepas dilanggar sebuah kereta peronda polis yang sedang dalam perjalanan ke lokasi panggilan kecemasan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).