NEW DELHI: Negara anggota BRICS menggesa semua pihak menunjukkan sikap menahan diri susulan ketegangan berterusan di Asia Barat, selain menekankan kepentingan memastikan aliran perdagangan, rantaian bekalan dan bekalan tenaga global terus berjalan lancar.
Pendirian itu dinyatakan dalam deklarasi bersama yang diterima pakai sebulat suara pada Sidang Kemuncak BRICS yang bermula di New Delhi pada Sabtu.
Deklarasi berkenaan menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di Asia Barat dan menyeru semua pihak mengelakkan serangan ke atas infrastruktur awam serta kemudahan nuklear.
BRICS turut menegaskan pendiriannya berhubung Palestin dengan menolak sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin atau usaha mengubah geografi dan demografi wilayah yang diduduki.
Blok itu juga menggesa penghentian keganasan di Gaza, sokongan berterusan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), serta menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sidang kemuncak dua hari itu dihoskan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi, dan dihadiri beberapa pemimpin utama termasuk Presiden China Xi Jinping, Presiden Rusia Vladimir Putin serta Presiden Iran Masoud Pezeshkian.
Selain isu keselamatan serantau, deklarasi itu turut menyentuh usaha memperluas sistem pembayaran rentas sempadan bukan Barat, kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), dan bantahan terhadap sekatan serta tarif unilateral yang dianggap menjejaskan perdagangan antarabangsa.
Xi, yang mengadakan lawatan pertama ke India dalam tempoh tujuh tahun, berkata konflik di Asia Barat telah menyebabkan penderitaan besar kepada penduduk rantau itu dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat antarabangsa.
Dalam pertemuan berasingan pada Jumaat, Modi turut mengadakan rundingan dengan Putin dan Pezeshkian, termasuk membincangkan kebebasan pelayaran serta keselamatan anak kapal di Selat Hormuz.
Walaupun mencapai persetujuan bersama mengenai beberapa isu utama, BRICS masih berdepan cabaran menyelaraskan pendirian dalam kalangan anggotanya yang mempunyai kepentingan berbeza, khususnya berkaitan konflik di Asia Barat dan dasar perdagangan global.
BRICS yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan pada asalnya ditubuhkan sebagai platform ekonomi negara membangun, sebelum diperluas dengan penyertaan beberapa negara lain dalam usaha memperkukuh pengaruh negara-negara Global South di pentas dunia.