PENINGKATAN kes cacar monyet di New York City menyaksikan warganya mula berpusu-pusu mendapatkan vaksin yang boleh menghalang penyakit itu.

Angka baharu dari Jabatan Kesihatan New York City meletakkan bilangan yang diuji positif cacar monyet berjumlah 1,092 setakat ini.

Cacar monyet diisytihar endemik di Afrika, bagaimanapun ribuan kes telah dilaporkan di negara-negara yang tiada sejarah penyakit itu.

Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengesyorkan vaksin diberikan kepada kontak rapat pesakit.

Setakat ini tiada kematian dilaporkan berlaku di luar kawasan endemik.

Penyelidik perubatan masih mengkaji bagaimana cacar monyet boleh merebak, namun mereka percaya punca utama adalah melalui sentuhan kulit ke kulit dan perkongsian tempat tidur dan pakaian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengisytiharkan wabak cacar monyet yang semakin meluas sebagai kecemasan global.

BACA: Wabak cacar monyet diisytihar sebagai kecemasan kesihatan global - WHO 

Di Amerika dan Eropah, sebahagian besar jangkitan telah berlaku ke atas lelaki yang melakukan hubungan seks sesama jenis.

Namun jangkitan turut berlaku ke atas kanak-kanak dan wanita.