DAKAR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang mendapatkan ribuan kit ujian saringan cacar monyet untuk Afrika dan berusaha untuk memastikan benua itu mempunyai akses adil kepada vaksin sekiranya perlu.

Pengarah WHO Afrika, Matshidiso Moeti berkata, lapan negara Afrika kini telah mengesahkan kes cacar monyet.

Ini termasuk Nigeria, Cameroon dan Republik Demokratik Congo di mana ia adalah endemik, tetapi juga benin dan Ghana di mana virus itu biasanya tidak dijumpai.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika, benua itu telah mengesan 1,597 kes yang disyaki virus itu sejak awal 2022, di mana 66 daripadanya telah membawa maut.

Tambah Moeti, walaupun pihaknya tidak mengesyorkan vaksinasi besar-besaran pada peringkat ini, namun mereka perlu memastikan ia bersedia sekiranya perlu.

Stok global suntikan vaksin cacar yang menawarkan perlindungan terhadap cacar monyet sangat terhad pada peringkat ini.

Jelasnya, WHO sedang berusaha untuk memastikan akses yang adil kepada vaksin dan rawatan.

Pemangku Pengarah CDC Afrika, Ahmed Ogwell Ouma, memberi amaran terhadap pengulangan situasi pada permulaan usaha vaksinasi COVID-19 global, apabila negara kaya mengaut vaksin dengan mengorbankan yang lebih miskin.

Lebih daripada 1,000 kes cacar monyet telah dilaporkan kepada WHO di luar Afrika di mana ia lebih kerap merebak.

Jumlah kes yang disahkan penyakit itu hampir 1,900 pada Rabu.

WHO akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kecemasan minggu depan untuk menilai sama ada wabak cacar monyet mewakili kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa.