BEIJING: Agensi penguatkuasaan undang-undang China dan Amerika Syarikat (AS) mencatat kemajuan baharu dalam kerjasama antidadah selepas bersama-sama membongkar kes rentas negara melibatkan bahan prekursor yang digunakan untuk menghasilkan kanabinoid sintetik, menurut Kementerian Keselamatan Awam China pada Khamis, lapor Xinhua.
Menurut kementerian itu, kes berkenaan dikendalikan bersama oleh kementerian berkenaan dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS.
Pada awal Mei, pihak AS memberikan maklumat mengenai dua warga China yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkaitan dadah. Polis China kemudian mendapati maklumat itu mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat di China, menyebabkan pihak berkuasa menggabungkan siasatan kedua-dua kes.
Susulan siasatan lanjut, polis China pada pertengahan Ogos melancarkan operasi secara serentak di wilayah Hebei di utara China dan beberapa lokasi lain, menahan 21 suspek serta merampas sejumlah bahan kimia prekursor tidak tersenarai yang lazim digunakan dalam penghasilan dadah, menurut kementerian itu.
Sebelum ini, pihak berkuasa AS menahan dua warganya yang disyaki melakukan jenayah berkaitan dadah.
Kedua-duanya didakwa membeli bahan kimia prekursor tidak tersenarai untuk menghasilkan dadah di AS yang kemudian diedarkan kepada banduan di beberapa penjara persekutuan dan negeri di seluruh negara itu.
Kementerian itu berkata, kejayaan menyelesaikan kes berkenaan membuktikan keberkesanan mekanisme kerjasama penguatkuasaan undang-undang antidadah China-AS, selain menjadi satu lagi contoh konkrit usaha kedua-dua pihak memperdalam kerjasama praktikal dalam memerangi jenayah dadah rentas negara.
Antidadah sejak sekian lama menjadi bidang penting dalam kerjasama penguatkuasaan undang-undang China-AS.
Kedua-dua negara bekerjasama dalam kes melibatkan penyeludupan dan pengedaran dadah serta pengedaran rentas sempadan bahan psikoaktif baharu.
Pada Ogos, sebuah mahkamah China mensabitkan kesalahan dua lelaki kerana mengedar bahan kimia prekursor ke luar negara.
Kes itu berjaya dibongkar berdasarkan maklumat yang diberikan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) AS pada 2023.
Mekanisme pertukaran risikan antidadah China-AS yang ditubuhkan pada 2002 mengadakan mesyuarat ke-11 pada Februari 2026, dengan perbincangan tertumpu kepada trend dadah, siasatan bersama, kawalan bahan kimia prekursor serta bidang kerjasama lain.
China turut memperketat kawal selia terhadap bahan kimia prekursor tidak tersenarai.
Pada November 2025, negara itu menambah 13 jenis prekursor bagi bahan berkaitan fentanyl ke dalam senarai kawalan eksportnya serta memasukkan AS, Mexico dan Kanada dalam Katalog Negara (Wilayah) Tertentu.
Pada Mei 2026, tiga lagi jenis prekursor berkaitan fentanyl ditambah ke dalam senarai yang terpakai bagi ketiga-tiga negara berkenaan.
Zhang Li, Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Teori dan Dasar Kawalan Dadah di Universiti Keselamatan Awam Rakyat China berkata, kerjasama antidadah yang semakin berkembang itu menunjukkan komitmen China untuk membantu AS menangani krisis fentanyl.
-- BERNAMA-XINHUA