BEIJING: China mengumumkan perintah moratorium penangkapan ikan selama dua bulan setengah yang berkuat kuasa bermula pukul 12 tengah hari (16 Mei) secara serentak di tiga kawasan aliran sungai utama di bahagian utara dan timur laut negara ini yang meliputi Sungai Hai, Sungai Liao dan Sungai Songhua.

Ini merupakan komponen terakhir dalam pelaksanaan perintah moratorium penangkapan ikan yang berkuat kuasa secara menyeluruh di seluruh negara China yang mempunyai empat laut utama iaitu Laut Bohai, Laut Kuning, Laut Timur dan Laut China Selatan serta tujuh kawasan aliran sungai utama.

Kementerian Pertanian dan Hal-Ehwal Desa China pada Selasa melancarkan kempen "China Fishery Sword 2023" di bandar Songyuan, provinsi Jilin yang bertujuan menguatkuasakan undang-undang khas berhubung larangan penangkapan ikan di tiga kawasan aliran sungai utama di bahagian utara dan timur laut China.

Pasukan penguatkuasa perikanan tempatan turut digerakkan untuk memantau pelaksanaan perintah itu bagi memastikan pelaksanaannya terjamin dan sumber biologi akuatik dapat dipelihara sepenuhnya.

Kementerian Pertanian dan Hal-Ehwal Desa China pernah mengeluarkan Notis Pelaksanaan Sistem Moratorium Penangkapan Ikan di Empat Kawasan Aliran Sungai, iaitu Sungai Hai, Sungai Liao, Sungai Songhua dan Sungai Qiantang pada tahun 2019.

Notis itu merupakan langkah terakhir dalam skim kebangsaan yang bertujuan memastikan sistem terbabit dilaksanakan di kesemua tujuh kawasan aliran sungai utama dan perairan utama di negara ini.

Pada 2022, seramai 135,000 pegawai penguatkuasa yang ditugaskan dalam melaksanakan undang-undang khas semasa tempoh moratorium di kawasan aliran Sungai Hai, Sungai Liao dan Sungai Songhua.

Selain itu, pegawai penguatkuasa turut menjalankan sebanyak 21,000 pemeriksaan terhadap kapal nelayan, dermaga dan pelabuhan serta dok semula jadi.

Pegawai berkenaan turut menyiasat dan menangani 1,163 kes berhubung kegiatan yang menyalahi undang-undang dan peraturan dan menfailkan 163 kes kepada jabatan kehakiman.

Pencapaian mereka terbukti penting bagi perlindungan terhadap sumber perikanan dan persekitaran ekologi kawasan akuatik serta pemeliharaan terhadap kepelbagaian hidupan akuatik.

-- BERNAMA