Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang kagum dengan tahap teknologi China mengakui banyak yang perlu dipelajari terutama melibatkan keselamatan makanan.
"Banyak lagi yang kita belajar di sini dan mereka (China) juga bersetuju untuk memberi latihan kepada pegawai-pegawai profesional kita supaya kita dapat guna cara-cara mereka.
"Bagaimana sebuah negara yang begini besar tidak menghadapi masalah kekurangan makanan. Bahkan setiap tahun, 15 juta orang akan lulus daripada universiti dan sekolah. Sekaligus mereka perlu wujudkan jumlah pekerjaan sebanyak 15 juta untuk mengatasi masalah pengangguran.
"Kita dapati sekarang di Malaysia, ramai yang menganggur kerana kita tak dapat wujudkan peluang pekerjaan kepada mereka, kita yakin kita boleh tiru mereka (China)," ujarnya pada sidang media sempena hari terakhir lawatan beliau ke negara tembok besar itu hari ini.
BACA: ECRL, TSGP batal - Tun Mahathir
BACA: Bawa modal, teknologi, peluang pekerjaan, bukan beli tanah - Tun Mahathir
Mengambil contoh keselamatan makanan, Dr Mahathir berkata penggunaan teknologi oleh China membolehkan negara itu bukan sahaja mampu menampung makanan bagi 1.4 bilion rakyatnya.
Malah, hasil pengeluaran produk mereka boleh dieksport ke negara-negara lain.
"Ramai penanam padi (di Malaysia) miskin kerana pengeluaran padi tidak memberi keuntungan besar kepada mereka. Lagi pun kerajaan terpaksa memberi subsidi yang banyak.
"Sebaliknya, saya dapati mengikut Presiden, Xi Jinping bahawa walaupun penduduk negara China ini berjumlah 1.4 bilion, mereka dapat membekalkan makanan mencukupi. Mereka dapat mengeluarkan beras yang cukup untuk 1.4 bilion manusia.
"Ini sesuatu yang perlu kita belajar kerana kita berhempas pulas membayar subsidi, memberi baja dan sebagainya, tetapi kita hanya boleh membekalkan 70 peratus sahaja untuk rakyat yang berjumlah cuma 30 juta.
"Kita kagum dengan kebolehan mereka mengeluarkan sayur-sayuran serta buah-buahan yang mencukupi bahkan mereka boleh eksport hasil pertanian mereka," tambah beliau.
Hadir sama pada sidang media tersebut adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Dr Mahathir serta rombongan sebelum itu melawat Akademi Sains Pertanian China di sini untuk mengetahui lebih banyak tentang inovasi dan kecanggihan teknologi China.
Pada lawatan itu, Dr Mahathir turut menunjukkan minat mendalam terhadap penyelidikan yang dijalankan oleh organisasi berpaksikan inovasi itu.
Penyelidikan yang dijalankan akademi itu, antara lain, menumpukan usaha menangani masalah strategik dan penting yang dihadapi oleh sektor pertanian.
Menerusi penyelidikan, akademi itu mengeluarkan pelbagai varieti tanaman baharu dan racun serangga, dan juga mewujudkan bank stem sel bijian untuk mengeluarkan pelbagai variasi tanaman pertanian.
Dr Mahathir kemudiannya melawat Taman Sains Pertanian Teknologi Inovasi di sini yang mempamerkan pertanian moden dan berteknologi tinggi.