Sebanyak 68 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan di Singapura dalam tempoh 24 jam dengan dua daripadanya kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 56,099.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura hari ini, dua kes import berkenaan telah dikenakan Notis Tinggal Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatan setakat ini, kementerian berkenaan berkata tiada kes dalam komuniti.

Sementara itu, sebahagian besar kes pula melibatkan pemegang permit kerja yang kini menjalani kuarantin.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Rabu, kementerian itu berkata terdapat 16,800 pekerja yang masih menjalani tempoh kuarantin.

Sehingga tengah hari semalam, republik itu mengklasifikasikan 820 kes import, 2,209 kes dalam komuniti dan 53,002 kes melibatkan penghuni asrama.

Sejumlah 52,810 pesakit atau kira-kira 94 peratus daripada jumlah kes keseluruhan telah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Sementara itu, 87 kes yang disahkan masih berada di hospital, namun tiada yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sejumlah 3,107 pesakit yang mengalami simptom ringan, atau sihat secara klinikal tetapi disahkan positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu.

Sehingga Rabu tiada kluster baharu dikesan manakala tiga kluster telah ditutup.

- BERNAMA