ANGKA kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini meningkat kepada 54,785,073. 

Ini berikutan ratusan ribu kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan lebih 11,172,779 kes.

Ini diikuti India dengan lebih 8,845,127 kes dan Brazil dengan 5,863,093 kes.

Negara yang melepasi angka satu juta kes adalah Rusia, Perancis, Sepanyol, United Kingdom (UK), Argentina, Itali, Colombia dan Mexico.

Peru, Jerman, Afrika Selatan, Iran, Poland, Chile, Ukraine dan Iraq pula termasuk dalam negara yang merekodkan lebih setengah juta kes jangkitan COVID-19.

Negara dalam lingkungan angka 300,000 hingga 500,000 kes positif COVID-19 adalah Indonesia, Belanda, Bangladesh,Turki, Filipina, Arab Saudi, Pakistan, Romania, Kanada, Maghribi, Switzerland dan Nepal.

Sementara itu, sebanyak 23 negara merekodkan angka positif dalam lingkungan 100,000 hingga 300,000 kes.

Kebanyakan negara lain merekodkan angka positif di bawah 100,000.

Sementara itu, statistik Johns Hopkins University turut menunjukkan jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 kini berada pada 1,322,400 kes.

AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 247,019 kes, diikuti Brazil dengan 165,798 kes.

Manakala India dan Mexico masing-masing merekodkan 130,070 dan 98,542 kes kematian.

Manakala, kematian di UK kini melepasi 52,000 kes.

Negara yang melepasi angka 40,000 kes kematian adalah Itali, Perancis, Sepanyol dan Iran.

Argentina, Peru, Colombia dan Rusia pula merekodkan angka korban melebihi 30,000.

Lain-lain negara masih merekodkan angka korban bawah 20,000.