MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin mengesahkan dirinya sudah mendapatkan suntikan ketiga vaksin COVID-19 keluaran negara itu, Sputnik Light.

Sputnik Light ialah vaksin dos tunggal yang disyorkan sebagai suntikan penggalak oleh Menteri Kesihatan Rusia, enam bulan selepas melengkapkan dua dos vaksin Sputnik V.

"Berdasarkan saranan anda dan rakan sekerja anda, hari ini saya menerima satu lagi suntikan, dengan Sputnik Light, dalam apa yang dipanggil vaksinasi semula," kata Putin.

Putin memberitahu demikian ketika pertemuannya dengan pengeluar vaksin berkenaan, Timbalan Ketua Institut Penyelidikan Gamaleya, Denis Logunov.

Pada Jun, Putin memaklumkan beliau sudah melengkapkan dua dos vaksin Sputnik V yang dibangunkan negaranya, pada awal tahun ini.

Bagaimanapun kedua-dua sesi suntikan itu tidak diadakan secara rasmi di hadapan rakyat Rusia.

Pihak berkuasa Rusia ketika ini sedang berusaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi di ketika lonjakan jangkitan dan kadar kematian akibat COVID-19 dan keraguan vaksin yang meluas.