Singapura melaporkan 93 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas termasuk enam kes import, menjadikan kes positif terkumpul di republik berkenaan berjumlah 56,031.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu hari ini, kesemua kes import telah diletakkan di bawah perintah kuarantin di rumah.

Sebanyak dua kes jangkitan dalam komuniti turut dilaporkan membabitkan pemegang pas kerja manakala kes-kes lain merupakan pemegang permit kerja yang sedang menjalani kuarantin, kata kementerian itu.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat Selasa, kementerian itu berkata terdapat kira-kira 17,000 pekerja masih dalam tempoh kuarantin.

Setakat tengah hari semalam, republik itu mengklasifikasikan 814 sebagai kes import, 2,207 kes jangkitan dalam komuniti dan 52,917 merupakan pekerja migran yang menghuni asrama.

Seramai 52,533 pesakit atau kira-kira 94 peratus daripada jumlah kumulatif kes yang dilaporkan, telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital atau pusat jagaan komuniti.

Dalam pada itu, seramai 88 pesakit positif masih dirawat di hospital namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Seramai 3,290 pesakit yang bergejala ringan atau sihat secara klinikal namun diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan sedang dirawat di pusat jagaan komuniti.

Angka kematian akibat COVID-19 di republik itu kekal pada 27 orang. Tiada kluster baharu dikenal pasti pada Selasa.

-- BERNAMA