GENEVA:Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkritik tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang melarang eksport vaksin COVID-19.

Agensi dunia itu menegaskan tindakan EU itu hanya akan menyebabkan pandemik berlanjutan.

Kata Timbalan Pengarah WHO, Mariangela Simao, tindakan EU satu trend yang membimbangkan.

EU pada Sabtu memperkenalkan larangan eksport untuk vaksin COVID-19 yang dihasilkan di blok itu.

Ini susulan pertikaian berhubung isu penghantaran vaksin.

Mekanisme itu membolehkan EU melarang syarikat farmaseutikal mengeksport vaksin sekiranya ia belum memenuhi kontrak dengan EU.

Kawalan ini akan menjejaskan 100 negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Negara-negara miskin bagaimanapun terkecuali.

Sebelum ini Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyelar aktiviti nasionalisme vaksin.

Ia dianggap mencetus situasi pemulihan yang terlindung, merujuk kepada negara-negara yang ada kemampuan kewangan sahaja boleh melaksanakan program vaksinasi.