BANDAR XI'AN: China mengenakan sekatan pergerakan ke atas 13 juta penduduk bandar Xi'an, selain kawalan perjalanan diperketatkan lagi bagi memerangi lonjakan kes COVID-19.

China berada dalam keadaan sangat berjaga-jaga untuk memerangi penularan tempatan di beberapa bandar walaupun Beijing bersedia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 dijadualkan pada Februari depan.

Xi'an melaporkan 91 kes tempatan baharu pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 239 kes sejak 9 Disember lalu.

Kerajaan bandar itu memaklumkan, hanya seorang isi rumah dibenarkan keluar setiap dua hari sekali untuk membeli keperluan.

Perintah itu dikuatkuasakan sehari selepas bandar itu mula menjalankan saringan ke atas 13 juta penduduknya.

Lebih 85 peratus penerbangan menuju dan dari lapangan terbang utama bandar itu dihentikan.