WALAUPUN jumlah kes dan kematian akibat COVID-19 terus meningkat di seluruh dunia, jumlah mereka yang berjaya pulih juga bertambah.

Sehingga hari ini, lebih daripada 330,000 pesakit telah pulih daripada virus tersebut, menurut data yang dikeluarkan Pusat Maklumat COVID-19 di Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat.

Jumlah ini melebihi daripada jumlah kematian setakat ini, iaitu 89,416.

Namun angka itu mungkin jauh lebih tinggi memandangkan terdapat ramai dalam kalangan pesakit yang tidak mempunyai sebarang simptom dan tidak tahu mereka telah dijangkiti.

China mendahului senarai dengan lebih daripada 77,000 pesakit sembuh, diikuti oleh Sepanyol (48,000), Jerman (46,000), dan Iran (29,000).

Di Malaysia, setakat hari ini, 1,608 pesakit atau 36 peratus daripada keseluruhan 4,228 kes yang dicatatkan, telah berjaya sembuh.