DOKTOR di Hospital Kanak-Kanak Sarojini Naidu di Uttar Pradesh berjaya mengeluarkan janin seberat dua kilogram (kg) daripada perut bayi tujuh bulan, Jumaat lalu.

Pembedahan itu berlangsung selama empat jam dengan bayi lelaki terbabit mungkin yang pertama di negeri berkenaan menderita keganjilan dikenali ‘fetus in fetu (FIF)’.

Dr D Kumar yang mengetuai pasukan perubatan bagi prosedur terbabit memaklumkan kanak-kanak itu kini dalam keadaan baik.

Bapa bayi itu yang juga petani dari kawasan Kunda di daerah Pratapgarh membawa anaknya ke jabatan kecemasan di Hospital Swaroop Rani Nehru pada 24 Julai lalu.

“Ibu bayi sudah meninggal dunia ketika melahirkannya. Perut bayi itu pula kembung dan dia mengalami kesakitan.

“Imbasan CT scan yang dijalankan selepas pemeriksaan biasa menunjukkan bayi itu mengandungkan janin,” kata doktor yang mengesahkan janin dikeluarkan menerusi pembedahan terbabit.

Dr Kumar berkata, FIF adalah anomali kongenital yang jarang berlaku, yang mana janin cacat membesar dalam badan kembar.

“Ia berlaku apabila seorang daripada kembar membesar dalam perut ibu, manakala seorang lagi hidup dalam perut bayi,” jelasnya.

Pada hujung 90-an, seorang lelaki dari Nagpur di Maharashtra dikenali Bhagat digelar ‘lelaki hamil’ apabila mempunyai perut yang menonjol dan disahkan ‘mengandungkan’ kembarnya selama lebih 36 tahun. - Pa&Ma