Skip to main content
Advertisement

Dunia

Dua lelaki ditahan selepas dikesan keluar dari sistem pembetungan New York

Sunlight shines on a manhole cover on a cobblestone street in New York City
Insiden itu merupakan antara beberapa kejadian serupa yang dilaporkan di New York sejak beberapa bulan kebelakangan ini. - Gambar hiasan
Advertisement

NEW YORK: Polis New York menahan dua lelaki selepas mereka didakwa keluar dari sistem pembetungan bawah tanah bandar raya itu, dalam kejadian yang mencetuskan kebimbangan keselamatan berhampiran lokasi yang dikaitkan dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Jabatan Polis New York (NYPD), Kevin Rodriguez, 26, dan Samuel Reveron, 25, ditahan atas tuduhan berkonspirasi dan menceroboh.

Kedua-dua mereka adalah antara tiga individu yang dilihat keluar dari sebuah lubang pembetung berhampiran hotel yang dilaporkan menjadi lokasi penginapan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sempena Perhimpunan Agung PBB.

NYPD berkata pihaknya telah merekodkan beberapa insiden membabitkan individu memasuki sistem pembetungan untuk mencari barang berharga atau logam terbuang selepas berlakunya ribut.

Menurut polis, kejadian terbaru itu dipercayai mempunyai ciri yang sama, namun pemeriksaan keselamatan tambahan dijalankan kerana lokasi berkenaan dianggap sensitif susulan berlangsungnya Perhimpunan Agung PBB.

Pihak polis berkata kedua-dua suspek melarikan diri selepas keluar dari lubang pembetung itu sebelum ditahan pada Khamis.

Dalam prosiding mahkamah pada Jumaat, mereka mengaku tidak bersalah dan dibebaskan sementara menunggu perbicaraan.

Insiden itu merupakan antara beberapa kejadian serupa yang dilaporkan di New York sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada Ogos lalu, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan seorang individu keluar dari sebuah lubang pembetung di Queens pada awal pagi. Pada bulan yang sama, polis turut menyiasat tiga individu yang dilihat keluar dari lubang pembetung berhampiran Stesen Penn dengan memakai pakaian kerja dan lampu kepala.

Pihak berkuasa New York menegaskan bahawa memasuki sistem pembetungan bandar adalah menyalahi undang-undang dan berbahaya kerana terdapat risiko terdedah kepada gas toksik, banjir serta ruang sempit yang boleh mengancam nyawa.

Jabatan Perlindungan Alam Sekitar New York sebelum ini menasihatkan orang ramai supaya tidak memasuki paip, longkang, lubang pembetung atau mana-mana kemudahan saliran bawah tanah atas faktor keselamatan.

Awal tahun ini, seorang wanita dilaporkan maut selepas terjatuh ke dalam lubang pembetung yang terbuka di Midtown Manhattan ketika membuka pintu kenderaannya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement