Skip to main content
Advertisement

Dunia

El Nino semasa boleh akibatkan 451,000 kematian berkaitan haba - Kajian

Generic musim panas
El Nino pada tahun ini berisiko menyebabkan kira-kira 451,000 lagi kematian akibat haba melampau di seluruh dunia dalam tempoh separuh pertama corak iklim itu, menurut laporan Universiti Chicago yang dikeluarkan pada Rabu. - Gambar hiasan
Advertisement

ISTANBUL: El Nino pada tahun ini berisiko menyebabkan kira-kira 451,000 lagi kematian akibat haba melampau di seluruh dunia dalam tempoh separuh pertama corak iklim itu, menurut laporan Universiti Chicago yang dikeluarkan pada Rabu.

Unjuran kematian itu meliputi tempoh dari Jun 2026, ketika El Nino semasa bermula, hingga Februari 2027, lapor Anadolu Ajansi.

Makmal Impak Cuaca menganggarkan jumlah hari yang mengalami suhu amat panas boleh meningkat sebanyak 44 peratus berbanding tahun-tahun biasa, dengan kesan paling besar dijangka berlaku di negara yang mempunyai sumber lebih terhad untuk menyesuaikan diri dengan keadaan itu.

Rantau Sahel diunjurkan mencatatkan tambahan 66,800 kematian akibat haba dari September hingga Februari. Asia Tenggara pula mungkin merekodkan hampir 39,000 kematian tambahan manakala India dan Brazil masing-masing diunjurkan mencatatkan 15,800 dan 13,300 kematian tambahan.

“Jumlah ini begitu besar sehingga boleh membuatkan kita berasa kebas, tetapi ia sebenarnya terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak, datuk dan nenek serta jiran tetangga, iaitu manusia yang pergi bekerja, menjaga keluarga dan menjalani kehidupan mereka,” kata Michael Greenstone, Pengasas Bersama Makmal Impak Cuaca.

Penyelidik berkata, puluhan ribu kematian boleh dicegah melalui tindak balas kecemasan dan langkah meningkatkan daya tahan yang disasarkan, termasuk sistem amaran awal, pusat penyejukan serta perlindungan untuk pekerja luar bangunan.

Mereka berkata, usaha mengurangkan kematian akibat suhu melampau perlu menjadi sebahagian daripada persediaan menghadapi El Nino, di samping langkah menangani risiko terhadap keselamatan makanan.

Laporan itu menyifatkan El Nino semasa sebagai “gambaran awal masa depan kita” dengan suhu yang dialami ketika ini menyerupai keadaan yang mungkin menjadi normal dalam tempoh kira-kira 20 tahun sekiranya usaha penyesuaian tidak dipertingkatkan.

“Mempertingkatkan tindak balas kecemasan dan menyasarkan usaha dengan lebih baik boleh menyelamatkan banyak nyawa tahun ini. Tetapi 20 tahun dari sekarang, apabila suhu ekstrem hari ini menjadi norma baharu, kita tidak mahu berada dalam keadaan kecemasan yang berterusan,” kata Tamma Carleton, Ketua Penyelidikan Fakulti Makmal Impak Cuaca sambil menggesa persediaan dan peruntukan sumber bagi menghadapi masa depan.

Penyelidik berkata, mereka akan mengemas kini unjuran kematian apabila keadaan El Nino berkembang.

Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) turut memberi amaran bahawa El Nino semasa berpotensi menjadi yang paling kuat pernah direkodkan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement