NAMA Sebastian Kurz yang menjadi pemimpin negara paling muda di dunia pada 2017 kembali meniti bibir rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan pemimpin itu pada Isnin.

Ketika pertemuan yang mendapat jolokan pertemuan pemimpin paling tua dunia dan pemimpin paling muda dunia itu, ramai terpegun dengan keupayaan dan ketrampilan Kurz yang mampu mengemudi kerajaan pada usia yang cukup muda.

Berikut empat fakta menarik mengenai Kurz yang membawa kepada pelantikan beliau sebagai Canselor Austria pada usia 31 tahun.

1) Kurz dilantik sebagai Menteri Luar dan Integrasi sejak 2013. Beliau menjadi Menteri Luar paling muda dalam sejarah Eropah pada usia 27 tahun. Pada Mei 2017, beliau dilantik mengetuai parti pemerintah Parti Rakyat Austria (OVP).

2) Kurz lahir di Vienna pada 27 Ogos 1986 dan dibesarkan di daerah Meidling. Sebelum menyertai politik, beliau menuntut di Universiti Vienna dalam bidang undang-undang danmemutuskan menghentikan pengajian untuk beri tumpuan penuh kepada bidang politik.




3. Kurz dilantik mengetui sayap pergerakan pemuda OVP pada 2009 dan dilantik menyertai Majlis Bandaraya Vienna pada 2011 di mana beliau memberi tumpuan ke arah mewujudkan skim pencen yang adil. Kurz menang kerusi Parlimen pada 2013 dan mendapat jumlah undi paling banyak dalam sejarah pilihan raya negara berkenaan.

4. Kurz belum berkahwin tetapi sedang berpacaran dengan seorang gadis yang dikenali beliau sejak berusia 18 tahun. Gadis itu kini berkhidmat dengan Kementerian Kewangan Austria dan menjadi tumpuan umum sejak pilihan raya pada 2017 apabila Kurz sering membawa beliau ketika kempen dan rapat umum.