Skip to main content
Advertisement

Dunia

Empat maut, puluhan cedera dalam kebakaran pangkalan tentera Kanada

CFB Wainwright yang menempatkan 1,310 anggota tentera dan kakitangan awam setakat 2021 merupakan antara pangkalan terbesar di Kanada dan terletak kira-kira 210 kilometer ke timur Edmonton, Alberta. - Gambar Reuters
CFB Wainwright yang menempatkan 1,310 anggota tentera dan kakitangan awam setakat 2021 merupakan antara pangkalan terbesar di Kanada dan terletak kira-kira 210 kilometer ke timur Edmonton, Alberta. - Gambar Reuters

Advertisement

CALGARY: Sekurang-kurangnya empat maut manakala puluhan lagi cedera parah dalam kebakaran besar di sebuah pangkalan tentera di Alberta, menurut kerajaan Kanada pada Ahad.

Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menyifatkan insiden yang berlaku pada hujung minggu itu sebagai antara tragedi paling buruk pernah menimpa angkatan tentera negara berkenaan di tanah air ketika keadaan aman.

“Seluruh negara berkabung atas kehilangan anggota Angkatan Tentera kita yang berani,” kata Carney pada Ahad.

Beliau turut mengarahkan bendera di bangunan kerajaan persekutuan di seluruh Kanada dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan kepada mangsa.

Sebelum ini, penyiar nasional CBC melaporkan tujuh kematian di Pangkalan Tentera Kanada Wainwright (CFB Wainwright), dengan memetik sumber yang tidak dinamakan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Kanada memaklumkan, keadaan masih berkembang dan angka korban tidak akan disahkan sehingga waris mangsa dimaklumkan.

Menurut data bancian, CFB Wainwright menempatkan 1,310 anggota tentera dan kakitangan awam setakat 2021.

Pangkalan itu, antara yang terbesar di Kanada, terletak kira-kira 210 kilometer ke timur Edmonton, Alberta.

Menteri Pertahanan Negara, David McGuinty berkata, beliau akan ke bandar berkenaan bagi mendapatkan taklimat mengenai situasi semasa.

CFB Wainwright turut menempatkan Pusat Latihan Manuver Kanada (Canadian Manoeuvre Training Centre), yang mengendalikan pelbagai senario latihan dan eksesais untuk tentera darat.

Menurut Carney, mereka yang terjejas dalam kebakaran pada Sabtu berasal dari pangkalan tentera di seluruh Kanada.

Setakat ini, hanya sedikit maklumat didedahkan mengenai punca kebakaran.

Insiden berlaku kira-kira pukul 4 petang Sabtu waktu tempatan di kawasan latihan pangkalan berkenaan ketika tiupan angin mencecah kelajuan sehingga 96 kilometer sejam.

Carney berkata, anggota bomba tentera dan awam bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sepanjang malam dalam keadaan yang disifatkannya sebagai “antara keadaan paling buruk yang boleh dibayangkan.”

Ambulans udara dari Edmonton dan Saskatoon, yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Wainwright, turut diterbangkan ke pangkalan tentera berkenaan pada Sabtu.

Mangsa yang cedera menerima rawatan di Edmonton, Wainwright, Calgary dan Red Deer.

Menurut laporan CBC News, petugas kesihatan di Edmonton mengisytiharkan “kod jingga” (code orange), iaitu prosedur bagi insiden melibatkan mangsa dalam jumlah yang besar, untuk menyelaras tindak balas perubatan terhadap pesakit yang dibawa dari Wainwright.

Bandar Wainwright yang mempunyai kira-kira 6,600 penduduk terletak berhampiran bahagian utara pangkalan tersebut.

Pihak perbandaran memaklumkan menerusi media sosial bahawa kebakaran telah melepasi pagar pangkalan dan memasuki kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, tiada arahan pemindahan dikeluarkan.

Pada Ahad, pihak berkuasa tempatan berkata, kebakaran itu dijangka tidak merebak melepasi kawasan yang terjejas ketika ini. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement