Skip to main content

Dunia

Paris umpama ‘zon perang’, Macron gesa rakyat Perancis bertenang, hentikan keganasan

Seorang individu berjalan berhampiran api yang marak ketika kekacauan awam di Paris, sehari selepas demonstrasi di seluruh Perancis membantah kos sara hidup dan kenaikan harga bahan api, pada Ahad. - Gambar Reuters
Seorang individu berjalan berhampiran api yang marak ketika kekacauan awam di Paris, sehari selepas demonstrasi di seluruh Perancis membantah kos sara hidup dan kenaikan harga bahan api, pada Ahad. - Gambar Reuters

Advertisement

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa rakyat bertenang pada Ahad, sehari selepas negara itu berdepan antara rusuhan terburuk dalam beberapa tahun susulan protes berhubung kenaikan kos sara hidup dan kemerosotan perkhidmatan awam.

Ribuan individu ditahan manakala premis perniagaan dirompak atau mengalami kerosakan selepas demonstrasi di seluruh negara bertukar ganas pada Sabtu.

Pertembungan baharu tercetus di Paris dan Marseille pada Ahad apabila polis antirusuhan dikerahkan bagi menghalang cubaan merompak premis perniagaan.

Demonstrasi di seluruh negara sehari sebelumnya menyaksikan sebuah dewan bandar raya dibakar, kedai dirompak dan bangunan diconteng grafiti, selain pertempuran antara kumpulan ganas dengan polis di beberapa bandar.

“Melihat imej-imej ini, kita semua tertanya-tanya: Apa yang mereka fikirkan? Bagaimana rakyat Perancis sanggup melakukan perkara ini terhadap Perancis?” kata Macron dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

“Tiada apa yang dapat membenarkannya, tiada apa yang dapat menjelaskannya dan tiada apa yang dapat dijadikan alasan. Malam ini, kita semua berasa marah dan malu.”

Pergolakan itu menyerlahkan kemarahan mendalam terhadap Macron, yang bakal meninggalkan jawatan pada 2027 selepas sedekad berkuasa, ketika pentadbirannya semakin dibayangi ketidakpuasan sosial, kelemahan ekonomi dan hutang negara yang meningkat.

Bagaimanapun, Macron mengakui mereka yang mengadakan protes secara aman mempunyai tuntutan yang wajar dan tindakan mereka tidak seharusnya disamakan dengan kumpulan yang mahu mencetuskan kekacauan.

Beliau tidak mengisytiharkan darurat seperti dituntut beberapa ahli politik sayap kanan, namun berkata kerajaan akan mengambil langkah membolehkan pihak berkuasa tempatan melarang demonstrasi sekiranya perlu bagi melindungi bangunan awam dan perniagaan setempat.

Paris seperti ‘zon perang’

Kerajaan Perancis menyalahkan kumpulan berhaluan kiri ekstrem serta penjenayah yang didakwa mencetuskan kejadian rompakan atas keganasan berkenaan.

Seorang penunjuk perasaan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika demonstrasi di Paris pada Sabtu.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez berkata, polis menahan 2,400 individu di seluruh negara manakala hampir 1,000 anggota polis cedera.

Polis sekali lagi bertempur dengan penunjuk perasaan di Place de la Republique pada petang Ahad dan melepaskan gas pemedih mata bagi mengawal keadaan.

Penunjuk perasaan turut membakar timbunan basikal, manakala seorang saksi Reuters menganggarkan beberapa ratus orang berada di kawasan berkenaan.

Operasi pembersihan besar-besaran dilakukan di beberapa bandar, dari Lille di utara hingga Marseille di selatan, serta Strasbourg di timur dan Bordeaux di barat daya.

Di Bordeaux, sekumpulan individu bertopeng dilaporkan menceroboh kediaman pegawai kanan pentadbiran tempatan.

“Ia seperti zon perang di sini!” kata usahawan Belanda, Tije De Boer, yang berkunjung ke Paris bersama anak-anaknya dan terpaksa mengosongkan hotel di Place de la Republique susulan pergolakan itu.

Lebih setengah juta orang menyertai perarakan di puluhan bandar pada Sabtu, menyaksikan gerakan pelajar yang berlangsung sejak sebulan lalu bergabung dengan gelombang ketidakpuasan masyarakat terhadap peningkatan kos sara hidup dan kemerosotan perkhidmatan awam.

Ratusan kedai rosak

Walaupun ratusan ribu individu mengadakan protes secara aman, kumpulan kecil yang bertindak ganas menyasarkan bangunan awam, merompak butik mewah dan pasar raya serta menyerang kenderaan dan anggota polis.

Pemimpin parti sayap kanan National Rally, Marine Le Pen, yang disebut sebagai calon utama menjelang kempen pilihan raya presiden tahun depan, turut menyeru rakyat supaya bertenang.

“Perancis tidak boleh membiasakan diri dengan imej negara ini dipukul, diperlakukan dengan buruk dan dirompak.

“Keganasan bukan satu pendapat. Kemusnahan bukan satu bentuk ekspresi. Dan kekacauan tidak boleh menjadi suatu rancangan untuk Perancis,” katanya menerusi rakaman video.

Sementara itu, calon Presiden daripada parti berhaluan kiri France Unbowed, Jean-Luc Melenchon berkata, Macron perlu memberi maklum balas terhadap tuntutan pelajar sekolah menengah yang menyertai demonstrasi berkenaan.

Di Limoges, sebuah bandar yang terkenal dengan industri porselin, menara jam dewan bandar rayanya runtuh selepas dijilat api, sekali gus mengimbau kembali kebakaran besar yang memusnahkan sebahagian Katedral Notre-Dame di Paris pada 2019.

Datuk Bandar Limoges, Guillaume Guerin mendakwa, jumlah anggota polis negara yang ditempatkan di bandar itu tidak mencukupi bagi menangani situasi berkenaan.

“Terdapat niat yang jelas dan dirancang untuk membakar dewan bandar raya, dan mereka yang berada di dalamnya bimbang akan keselamatan nyawa masing-masing,” katanya kepada Reuters.

Guerin turut mengancam untuk meletakkan jawatan sekiranya bandar itu tidak menerima peruntukan yang diperlukan bagi membaiki dewan bandar raya berkenaan.

Menteri Ekonomi, Roland Lescure pula berjanji kerajaan akan membantu pemilik perniagaan yang mengalami kerugian.

“Mereka yang melakukan kerosakan akan membayar, membaiki kerosakan itu dan dipertanggungjawabkan atas niat mereka mencetuskan kekacauan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Carrefour, Alexandre Bompard memberitahu penyiar BFMTV bahawa 50 premis syarikat itu mengalami kerosakan, termasuk 20 yang dirompak.

Kerugian akibat kerosakan berkenaan dianggarkan mencecah puluhan juta euro. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement