DUBAI: Iran menggesa Amerika Syarikat (AS) menerima cadangannya bagi membuka semula Selat Hormuz, sambil menegaskan tawaran yang dikemukakan kepada Washington sebelum ini masih terbuka.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, cadangan itu dikemukakan kepada AS pada pertengahan September selepas gencatan senjata sementara gagal dipertahankan.
Tehran kemudiannya mengakui menerima maklum balas daripada Washington, namun Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran minggu lalu berkata rundingan kini menemui jalan buntu berikutan AS belum memberikan respons terhadap kesemua tujuh syarat yang ditetapkan bagi membuka semula selat berkenaan.
“Pendirian kami jelas dan berdasarkan cadangan tujuh hari yang dikemukakan kepada Amerika Syarikat.
“Mereka telah memberikan pandangan yang sedang kami teliti, namun cadangan kami masih terbuka. Sekiranya pihak Amerika benar-benar mempunyai keikhlasan, yang sebenarnya tiada, maka laluan untuk membuka Selat Hormuz sudah jelas,” kata Araghchi.
Beliau berkata demikian ketika berada di Baghdad bagi menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Antara syarat yang dikemukakan Iran ialah AS perlu menarik balik sekatan terhadap pelabuhan negara itu, membatalkan sekatan ke atas eksport minyak Iran serta menghentikan permusuhan di semua medan konflik di rantau berkenaan.
Menurut Araghchi, sekiranya Washington menerima syarat Tehran, Selat Hormuz akan dibuka semula dalam tempoh enam hari, manakala rundingan antara kedua-dua pihak akan disambung pada hari berikutnya.
Antara perkara utama yang masih menjadi pertikaian ialah desakan Washington supaya program nuklear Iran dibincangkan sejak awal rundingan.
Naib Presiden AS, J.D. Vance sebelum ini berkata, Iran perlu membuat pengurangan yang “ketara” terhadap keupayaan pengayaan uraniumnya bagi memenuhi tuntutan Washington dan menamatkan perang antara kedua-dua negara yang berlarutan hampir lapan bulan.
Bagaimanapun, Tehran berpendirian bahawa fasa pertama rundingan perlu memberi tumpuan kepada pembukaan semula Selat Hormuz serta usaha memulihkan keselamatan di laluan perairan strategik itu.
Sebelum perang, kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia melalui Selat Hormuz. - Agensi