DUNIA
Eropah dilanda haba melampau, suhu Greece cecah 44 Celsius

Ahli meteorologi turut memberi amaran bahawa Laut Mediterranean yang luar biasa panas ketika ini boleh mencetuskan ribut yang lebih kuat. - AP
LONDON: Gelombang haba melampau dengan suhu mencecah sehingga 44 darjah Celsius (111 Fahrenheit) di beberapa kawasan serta ribut kuat sedang melanda Eropah, mengakibatkan banjir dan meningkatkan amaran kebakaran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Sistem tekanan rendah yang kuat telah bergerak ke Eropah tengah, mencetuskan amaran merah di Denmark serta amaran ribut petir di sepanjang pantai Baltik di Jerman dan Poland.
Peta anomali indeks cuaca kebakaran sederhana oleh Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah menunjukkan dua kluster utama dengan keadaan yang melampau dan sangat melampau.
"Satu kluster meliputi sebahagian besar Norway, Sweden dan Finland," menurut laporan itu.Kluster kedua merangkumi Eropah tenggara termasuk selatan Itali, Balkan, Greece, pulau Cyprus, Bulgaria, Romania dan Turkiye.
"Sebaliknya, Eropah barat dan tengah dijangka mengalami anomali indeks cuaca kebakaran yang rendah, manakala Semenanjung Iberia dijangka mencatat anomali tinggi hingga sangat tinggi," katanya.
Perubahan iklim meningkatkan kekerapan dan keterukan fenomena cuaca ekstrem seperti ribut kuat dan kebakaran hutan, terutama di benua yang mencatat kadar pemanasan paling cepat di dunia.
Di Eropah tenggara, gelombang haba terus mencatat peningkatan.
Greece dan Itali diramalkan mencatat suhu antara 43 hingga 44 darjah Celsius menjelang hujung minggu. Aktiviti kerja luar kini diharamkan ketika waktu puncak haba dan sebahagian besar kawasan tanah besar berada dalam amaran kebakaran tinggi.
Ahli meteorologi turut memberi amaran bahawa Laut Mediterranean yang luar biasa panas ketika ini boleh mencetuskan ribut yang lebih kuat.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim kini menjadi pendorong utama kepada gelombang haba maut, banjir dan kebakaran hutan.
Pada 2022, cuaca panas melampau telah meragut lebih 60,000 nyawa di Eropah - angka yang dijangka boleh berganda menjelang 2050 sekiranya tiada tindakan diambil.
WHO berkata kesan kesihatan akibat cuaca ekstrem sebahagian besarnya boleh dicegah menerusi langkah kesihatan awam yang berkesan.
-- BERNAMA
Dapatkan tip menghadapi cuaca panas dan info empangan di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami