BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) membelanjakan sebanyak 28.4 bilion euro (1 euro=RM5.04) pada 2022 untuk import produk tenaga hijau, termasuk turbin angin, panel solar dan biofuel cecair dari negara-negara luar EU.

Jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding yang dibelanjakan pada 2021 (13.3 bilion euro), menurut Eurostat.

Dengan fokus pada produk-produk tertentu, EU mengimport panel solar bernilai 22.6 bilion euro pada tahun lepas, kenaikan sebanyak 145 peratus berbanding tahun 2021 (9.2 bilion euro), lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Terdapat juga peningkatan yang dicatatkan untuk biofuel cecair dengan jumlah import pada 2022 mencapai 5.1 bilion euro, peningkatan sebanyak 49 peratus berbanding tahun 2021 (3.4 bilion euro).

Peningkatan juga dicatatkan dalam import turbin angin, meningkat 17 peratus kepada 0.8 bilion euro pada tahun 2022 berbanding 0.6 bilion euro pada 2021.

Nilai produk-produk tenaga hijau yang dieksport oleh EU ke negara-negara luar jauh lebih rendah pada 3.7 bilion euro iaitu penurunan sebanyak 27 peratus daripada jumlah 2021 yang sebanyak lima bilion euro. - BERNAMA