Skip to main content

Dunia

Fiji berdepan krisis HIV yang semakin membimbangkan

71622812886_TBHIVjpg.jpg
Dianggarkan 9,100 individu menghidap HIV di Fiji pada 2025, manakala kira-kira 1,700 jangkitan baharu direkodkan sepanjang tahun itu. - Gambar hiasan
Advertisement

SUVA: Fiji kini berdepan epidemik HIV yang meluas dalam kalangan penduduk, dengan jumlah individu yang menghidap HIV meningkat mendadak sejak sedekad lepas, lapor Xinhua.

Menteri Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan Atonio Lalabalavu memberitahu Parlimen bahawa dianggarkan 9,100 individu menghidap HIV di Fiji pada 2025, manakala kira-kira 1,700 jangkitan baharu direkodkan sepanjang tahun itu, menurut laporan Fiji Broadcasting Corporation pada Khamis. 

Beliau berkata jumlah jangkitan baharu itu kira-kira tiga kali ganda berbanding paras yang direkodkan pada 2018, sekali gus menunjukkan cabaran yang semakin besar kepada sistem kesihatan awam negara itu.

“Jangkitan baharu masih meningkat,” kata Lalabalavu, sambil menjelaskan yang Fiji masih belum mencapai tahap apabila trend itu mula berbalik.

Menteri itu berkata kerajaan sedang memperluas perkhidmatan ujian, rawatan dan pencegahan HIV sebagai sebahagian usaha membendung penularan virus berkenaan.

Lalabalavu turut menekankan keperluan memperkukuh langkah pengurangan kemudaratan, termasuk program penyediaan jarum dan picagari berikutan kebimbangan terhadap penularan HIV yang dikaitkan dengan penggunaan dadah.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement