RIYADH: Pakatan pimpinan Arab Saudi di Yaman pada malam Isnin berikrar mengambil langkah perlu bagi melindungi kapal dagangnya di Selat Bab al-Mandab serta bertindak tegas terhadap sebarang ancaman, susulan pengumuman kumpulan Houthi mengenai larangan maritim terhadap perkapalan Saudi.
Jurucakap gabungan itu Turki Al-Malki dalam kenyataan di platform media sosial X berkata, Komando Angkatan Bersama gabungan berkenaan sedang mengambil semua langkah operasi yang perlu dan tegas selaras dengan undang-undang antarabangsa bagi melindungi kapal yang melalui selat itu.
Beliau menolak larangan maritim Houthi itu sebagai “dakwaan palsu dan tindakan yang meningkatkan ketegangan,” sambil berkata lebih 300 kapal dagang memasuki pelabuhan yang dikuasai Houthi pada separuh pertama tahun ini dengan antaranya membawa bekalan makanan dan bahan api.
Sementara itu, Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan mengecam dakwaan Houthi mengenai sekatan, sambil menegaskan, kerajaan itu berusaha meringankan penderitaan rakyat Yaman menerusi projek pembangunan dan sokongan belanjawan.
Houthi mengumumkan larangan itu pada awal Isnin dengan menggunakan apa yang disifatkannya sebagai prinsip “sekatan dibalas sekatan” sebagai tindak balas terhadap “kepungan selama hampir 12 tahun” oleh Arab Saudi.
Langkah itu diambil selepas kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa minggu lepas bagi menghalang sebuah pesawat Iran yang membawa delegasi kanan Houthi daripada mendarat.
Houthi menyalahkan Riyadh atas serangan itu dan melancarkan peluru berpandu serta dron ke arah Arab Saudi.
Perkembangan terbaharu itu mencetuskan kebimbangan bahawa ketegangan yang semakin reda sejak gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022 mungkin kembali memuncak.
-- BERNAMA-XINHUA