SEEKOR anak kucing didapati tidak mempunyai jantina kerana ia tidak mempunyai organ seks, kes pertama yang berjaya dikesan oleh doktor di pusat penempatan haiwan.

Kucing tabby bernama Hope itu pada asalnya dianggap sebagai kucing betina semasa ia didaftarkan ke pusat perlindungan Cats Protection di Warrington, England, namun doktor haiwan gagal menemui organ seks luar.

Sebelum ini terdapat kes kucing hermaphrodite, iaitu kucing yang memiliki dua organ jantan dan betina, walaupun ia sangat jarang berlaku.

Berbeza dengan Hope, ia tidak mempunyai organ seks, luar atau dalam.

Pegawai kanan veterinar Cats Protection, Fiona Brockbank berkata, keadaan itu disebut agenesis, iaitu kegagalan organ untuk berkembang.

Pemeriksaan telah menunjukkan Hope tidak terjejas dengan keadaan itu dan berada dalam keadaan sihat.

"Kami menjalankan prosedur untuk mencari organ seks tetapi gagal menemuinya.

"Terdapat kemungkinan beberapa tisu ovari ektopik tersembunyi tetapi kami fikir ini sangat tidak mungkin.

"Ini sangat jarang berlaku sehingga tidak ada istilah yang biasa digunakan untuk keadaan ini, tetapi kami simpulkan ia sebagai agenesis organ seksual, iaitu kekurangan atau kegagalan perkembangan organ badan," kata Brockbank.

Syarikat insurans Petplan juga mengesahkan Hope tidak memerlukan sebarang perlindungan khas kerana keadaan kesihatannya baik.