INTERNATIONAL
Gaza hadapi kebuluran ketika bantuan bertimbun di luar - Pesuruhjaya EU Lahbib

Lahbib menyatakan terdapat tiga keutamaan mendesak di Gaza ketika Israel terus melancarkan tindakan pembunuhan beramai-ramai. - Reuters
LUXEMBOURG: Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) bagi Kesiapsiagaan, Pengurusan Krisis dan Kesaksamaan, Hadja Lahbib berkata tindakan Israel menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza telah mencetuskan krisis kemanusiaan di wilayah itu, sementara bekalan bantuan pula bertimbun di luar dan makanan menjadi rosak, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan berhubung situasi di Gaza dan Tebing Barat pada Isnin, menjelang mesyuarat menteri luar EU di Luxembourg.
Lahbib menyatakan terdapat tiga keutamaan mendesak di Gaza ketika Israel terus melancarkan tindakan pembunuhan beramai-ramai, iaitu memulihkan gencatan senjata dan memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan. Beliau menegaskan Gaza sedang berdepan krisis kemanusiaan akibat sekatan terhadap bantuan.
"Lebih sebulan telah berlalu tanpa sebarang bantuan, makanan, elektrik, malah sekeping roti pun tidak sampai ke sana," katanya.Lahbib menambah: "Ketika gudang-gudang di luar Gaza penuh dengan makanan, bekalan makanan di Gaza semakin kehabisan dan makanan di luar menjadi rosak kerana kami tidak dapat memasuki kawasan itu. Sekurang-kurangnya 100 kanak-kanak terbunuh atau cedera setiap hari."
Beliau turut memaklumkan bahawa Israel tidak meluluskan misi bantuan kemanusiaan yang ingin beroperasi di kawasan berkenaan sejak sekian lama, dan ketika ini tiada lagi kakitangan antarabangsa di Gaza dan Tebing Barat.
Lahbib turut menekankan bahawa keadaan di Tebing Barat yang diduduki juga semakin memburuk, sambil menyatakan bahawa "pengusiran paksa dan keganasan telah menjadi kebiasaan. Justeru, kita memerlukan tindakan politik yang tegas."
Beliau memaklumkan mesyuarat pertama dialog politik peringkat tinggi antara EU dan Palestin akan diadakan dengan penyertaan Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa, selepas mesyuarat menteri-menteri luar itu.
Lahbib berkata para peserta dalam mesyuarat itu akan membincangkan peluang kerjasama, hubungan dua hala dan usaha memenuhi keperluan rakyat Palestin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami