NEW YORK : Ketua Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menyifatkan Semenanjung Gaza sebagai “tempat paling bahaya di dalam dunia untuk kanak-kanak.”

Berucap pada sidang Majlis Keselamatan PBB pada Rabu, Catherine Russell berkata, perjanjian gencatan senjata yang sukar antara Israel dan Hamas belum cukup untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak.

Sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu, seramai 5,300 kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Gaza iaitu sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan nyawa yang diragut.

“Ini merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Russell.

Russell juga berkata, beliau turut “dihantui” keresahan apabila melihat apa yang berlaku semasa kunjungannya ke selatan Gaza baru-baru ini.

“Tambahan pada pelancaran bom, roket dan senjata api, kanak-kanak di Gaza juga berada dalam risiko yang ekstrem akibat hidup dalam malapetaka.”

Dalam masa sama, Russell mengulangi penegasannya agar petugas-petugas kemanusiaan diberikan jaminan akses keselamatan ke Gaza. - Agensi