Skip to main content

Dunia

Gelombang haba ekstrem ancam kestabilan grid kuasa Eropah

61679376522_electric.jpg
Ketika Eropah terus mengalami gelombang haba teruk pada Selasa, kesan suhu tinggi bukan sekadar terhadap alam sekitar dan kesihatan awam, malah turut mengancam kestabilan grid kuasa dengan meningkatkan risiko bekalan terputus dan kos elektrik lebih tinggi. - Gambar hiasan
Advertisement

ISTANBUL: Ketika Eropah terus mengalami gelombang haba teruk pada Selasa, kesan suhu tinggi bukan sekadar terhadap alam sekitar dan kesihatan awam, malah turut mengancam kestabilan grid kuasa dengan meningkatkan risiko bekalan terputus dan kos elektrik lebih tinggi, lapor Anadolu Ajansi, memetik media Eropah.

Pengedar tenaga Perancis Enedis memberi amaran pada Isnin, suhu bawah tanah boleh mencecah hingga 80 Celcius (C), yang mampu melemahkan bahagian rangkaian elektrik bawah tanah, menurut Franceinfo Herve Champenois, pengarah teknikal Enedis, memberi amaran tentang "kegagalan rangkaian", "kerosakan", dan juga "pemadaman kuasa" di bahagian grid tertentu.

Unjuran Enedis menjangkakan kerosakan dalam beberapa hari akan datang, walaupun dilaporkan terdapat talian sandaran.

Sementara itu, syarikat elektrik negara EDF menghentikan reaktor di loji jana kuasa nuklear Golfech lewat Isnin agar tidak melebihi ambang pemanasan Sungai Garonne, yang ditetapkan pada 28C, menurut penyiar BFMTV.

Jurucakap loji menjelaskan loji nuklear Golfech, yang terletak di barat daya Perancis, telah ditutup sejurus sebelum tengah malam kerana kekangan alam sekitar yang dikaitkan dengan gelombang haba.

EDF dilaporkan menganggarkan gelombang haba mempunyai kesan sekitar 0.3 peratus ke atas pengeluaran nuklear tahunan.

Perkhidmatan cuaca United Kingdom, Met Office, turut memberi amaran pada Isnin bahawa "gabungan haba dan kelembapan akan menyebabkan bahang kuat dan membawa kesan merentasi masyarakat, daripada kesihatan awam dan infrastruktur kepada bekalan kuasa dan air."

Beberapa bandar Itali, termasuk Milan, Bergamo dan Turin, baru-baru ini mengalami gangguan bekalan elektrik sementara yang disebabkan oleh peningkatan permintaan elektrik akibat penggunaan pendingin hawa dingin dan tekanan pada infrastruktur yang disebabkan oleh suhu tinggi susulan gelombang haba yang kuat, lapor Sky Tg24 pada Isnin.

Permintaan elektrik yang meningkat kerana suhu tinggi turut menjejaskan harga elektrik.

Pengendali pasaran elektrik Sepanyol OMIE berkata harga elektrik dalam pasaran borong melebihi 100 eruo (AS$114) setiap megawatt jam pada Selasa, kali pertama sejak Mac, menurut harian La Vanguardia.

OMIE menyatakan harga itu berada pada purata 112 euro (AS$127), bertepatan dengan gelombang panas pertama musim ini.

Syarikat tenaga Denmark Norlys juga berkata dalam siaran berita pada Selasa bahawa harga elektrik luar biasa tinggi untuk tahun ini, menurut penyiar DR.

Norlys mengaitkan kenaikan itu dengan gabungan suhu tinggi dan kenaikan harga bahan api fosil.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement