PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran gelombang haba yang besar di seluruh Asia Timur dan Pasifik boleh menyebabkan berjuta-juta kanak-kanak berisiko.

Ia turut menggesa tindakan untuk melindungi orang yang terdedah susulan peningkatan suhu.

Pemantau global memberi amaran bahawa 2024 bakal menjadi tahun paling panas dalam rekod, diburukkan lagi dengan iklim ekstrem dan peningkatan pelepasan gas rumah hijau.

Data Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) menunjukkan lebih 243 juta kanak-kanak di seluruh Pasifik dan Asia Timur dianggarkan terjejas berikutan gelombang haba, mendedahkan mereka kepada risiko penyakit berkaitan haba dan kematian.

Beberapa negara di rantau ini sedang berdepan gelombang musim panas dengan suhu menghampiri paras rekod kerana ia kerap mencecah lebih 40 darjah Celsius.

Peramal tempatan meramalkan kenaikan yang lebih tinggi dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Beberapa sekolah Filipina menggantung kelas secara bersemuka pada April dengan Agensi Peramal Cuaca menjangkakan suhu boleh mencapai tahap 'bahaya' sekitar 42 atau 43 darjah Celsius di beberapa bahagian negara itu.

Di Thailand, suhu 43.5 darjah Celcius direkodkan di wilayah utara Mae Hong Son awal minggu ini, hanya beberapa darjah lebih rendah daripada rekod semasa iaitu 44.6 darjah Celsius.

Menurut Kementerian Kesihatan Thailand, kira-kira 40 orang maut akibat penyakit berkaitan haba setiap tahun.

Pada Februari, negara jiran Vietnam mengalami gelombang haba raksasa di bahagian selatan apabila suhu mencecah sehingga 38 darjah Celsius, paras tinggi 'tidak normal' untuk tempoh terbabit.

Menurut laporan UNICEF, kanak-kanak lebih berisiko berbanding orang dewasa kerana mereka kurang berkemampuan mengawal suhu badan.

Pengarah Pejabat Serantau UNICEF untuk Asia Timur dan Pasifik, Debora Comini berkata, kanak-kanak lebih terdedah daripada orang dewasa kepada kesan perubahan iklim dan haba yang berlebihan adalah ancaman yang boleh membawa maut kepada mereka.

Laporan itu berkata, gelombang haba dan tahap kelembapan yang tinggi, lazimnya dialami di rantau ini boleh memberi kesan maut kerana haba akan 'menghalang mekanisme penyejukan semula jadi badan'.