DUNIA
Gelombang protes berterusan di bandar utama Indonesia, kawalan keselamatan diperketat

Kawalan keselamatan diperketat dengan penempatan tentera, penembak tepat dan kenderaan perisai, susulan rusuhan yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam kematian. -Gambar Reuters
JAKARTA: Ribuan rakyat Indonesia terus berhimpun di seluruh negara ketika pasukan tentera dikerahkan ke ibu kota pada Isnin bagi menangani gelombang demonstrasi yang mencetuskan ketegangan di beberapa bandar utama termasuk Jakarta, Yogyakarta, Bandung, Surabaya, Medan dan Palembang.
Ringkasan AI
- Ribuan rakyat Indonesia terus berhimpun di bandar-bandar utama walaupun kerajaan telah memotong elaun ahli parlimen sebagai langkah meredakan ketegangan.
- Kawalan keselamatan diperketat dengan penempatan tentera, penembak tepat dan kenderaan perisai, susulan rusuhan yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam kematian.
- Ketidakstabilan politik dan sosial menjejaskan ekonomi, dengan pasaran saham jatuh lebih 3% dan sekolah di Jakarta diarahkan beroperasi secara dalam talian.
Jalan-jalan utama yang biasanya sesak dilaporkan lengang, manakala sekolah dan universiti di Jakarta diarahkan menjalankan kelas secara dalam talian sekurang-kurangnya sehingga Selasa. Penjawat awam turut diminta bekerja dari rumah.
Di Jakarta, sekurang-kurangnya 300 penunjuk perasaan berhimpun di hadapan bangunan Parlimen Indonesia pada petang Isnin di bawah pengawasan puluhan anggota tentera.
Ribuan lagi berkumpul di Palembang di pulau Sumatera, ratusan di Banjarmasin di pulau Borneo, dan Yogyakarta di pulau utama Jawa, menurut AFP.
“Matlamat utama kami adalah untuk reformasi parlimen. Kami mahu wakil rakyat keluar dan bertemu kami. Mereka adalah wakil kami.
“Apakah mereka mahu tunggu sehingga undang-undang darurat tentera diumumkan?” kata penunjuk perasaan yang juga mahasiswa universiti, Nafta Keisya Kemalia, 20.
Protes bermula secara aman di Jakarta pada 25 Ogos lalu, namun bertukar ganas selepas insiden kematian seorang pemandu motosikal gig, Affan Kurniawan, 21, yang dilanggar kenderaan taktikal polis semasa rusuhan pada 28 Ogos.
Setakat ini, sekurang-kurangnya enam individu dilaporkan maut, termasuk seorang pelajar universiti di Yogyakarta dan dua mangsa kebakaran bangunan majlis daerah di Makassar.
Pada Ahad, Presiden Prabowo Subianto mengumumkan bahawa parti-parti politik bersetuju memotong elaun ahli parlimen sebagai usaha meredakan ketegangan.
Beliau turut membatalkan lawatan rasmi ke China dan mengarahkan pasukan tentera serta polis mengambil tindakan tegas terhadap perusuh dan penjarah, menyifatkan beberapa tindakan sebagai pengkhianatan dan terorisme.
Polis telah mendirikan sekatan jalan di seluruh Jakarta dan menjalankan rondaan berskala besar. Ratusan anggota tentera ditempatkan di sekitar Monumen Nasional dan di luar Istana Presiden.
Pasukan polis ibu kota turut mempamerkan konvoi kenderaan perisai dan motosikal di hadapan Parlimen sebagai amaran kepada penunjuk perasaan.
Sekurang-kurangnya satu kumpulan, Perikatan Wanita Indonesia, memaklumkan bahawa mereka membatalkan protes yang dirancang atas faktor keselamatan.
Pasaran saham Indonesia jatuh lebih 3 peratus pada pembukaan dagangan Isnin, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap ketidakstabilan politik dan sosial yang berterusan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami