Ringkasan AI
- Gabenor Bank Negara Malaysia menegaskan kawalan premium insurans sahaja tidak mencukupi untuk menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan di negara ini.
- Pelan insurans dan takaful perubatan asas, MediAsas, akan dilancarkan pada Januari 2027 dengan semakan berkala untuk memastikan manfaat dan harga kekal relevan.
- Langkah pembaharuan turut melibatkan ketelusan kos rawatan, penggunaan rekod perubatan elektronik, dan peralihan kepada sistem penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
KUALA LUMPUR: Usaha mengawal premium insurans perubatan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah peningkatan kos penjagaan kesihatan, memandangkan kos asas bagi rawatan itu sendiri juga perlu ditangani, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata peningkatan kos perubatan, tuntutan insurans yang melonjak serta premium lebih tinggi merupakan petunjuk penting menggambarkan tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan.
Perbelanjaan swasta untuk penjagaan kesihatan, merangkumi insurans dan perbelanjaan ditanggung sendiri oleh individu, kini hampir setara dengan perbelanjaan awam, pada masa sama, jumlah bayaran manfaat pelan perubatan telah meningkat lebih daripada 13 kali ganda berbanding kurang daripada RM1 bilion pada 2003.
“Bagi sesetengah keluarga, mengekalkan perlindungan perubatan yang bermakna menjadi semakin sukar,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Makan Malam Pertemuan Semula (Reunion) ke-103 Persatuan Alumni King Edward VII College of Medicine, University Malaya dan University of Singapore di Petaling Jaya, malam tadi.
Teks ucapan beliau telah dikeluarkan hari ini.
Abdul Rasheed berkata sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan perlindungan perubatan lebih mudah diakses, satu pelan insurans dan takaful perubatan asas dikenali sebagai 'MediAsas' dijadual dilancarkan pada Januari 2027.
“Pelan ini akan melalui semakan berkala oleh lembaga bebas MediAsas bagi memastikan manfaat serta harganya kekal relevan,” katanya.
Beliau berkata langkah pembaharuan lain termasuk ketelusan lebih tinggi dalam kos rawatan perubatan, selain itu kos rawatan bagi prosedur yang paling lazim sudah pun diterbitkan, berserta harga ubat-ubatan.
Menurut Abdul Rasheed, terdapat juga keperluan untuk beralih secara berperingkat daripada sistem penjagaan kesihatan berasaskan volum (jumlah perkhidmatan) kepada sistem berasaskan nilai iaitu memberi ganjaran kepada rawatan yang benar-benar berkesan dan bukan sekadar berdasarkan kuantiti rawatan diberikan.
BNM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sedang membangunkan kaedah pembayaran yang menjadikan kos lebih mudah dijangka serta mewujudkan insentif lebih kukuh bagi memastikan rawatan diberikan adalah wajar dan cekap, katanya.
“Menerusi MediAsas, ini merangkumi langkah ke arah pendekatan pembayaran berasaskan diagnosis bagi menjadikan kos lebih mudah dijangka dan memberi ganjaran kepada penyedia perkhidmatan atas kecekapan yang lebih tinggi.
“Apabila kos boleh dijangka, perlindungan juga boleh menjadi lebih mudah dijangka,” kata Abdul Rasheed.
Mengenai penjagaan kesihatan digital, Abdul Rasheed berkata rekod perubatan elektronik (EMR) saling boleh kendali kini tersedia, dengan ujian rintis sedang dijalankan di hospital-hospital awam dan kumpulan hospital swasta terpilih.
Beliau turut mengetengahkan Jawatankuasa Protokol dan Penyelesaian Rakan Kongsi Penjagaan Kesihatan, menghimpunkan doktor, hospital, dan syarikat insurans untuk memperkukuh kerjasama, menyelesaikan isu berkaitan tuntutan serta menjelaskan protokol-protokol ditetapkan.
Menekankan peranan pengamal perubatan, Abdul Rasheed berkata doktor memainkan peranan utama dalam memastikan pesakit menerima rawatan sewajarnya dan sumber penjagaan kesihatan digunakan secara berkesan.
“Penjagaan kesihatan berasaskan nilai tidak boleh sekadar menjadi konsep pembiayaan atau program kawal selia semata-mata. Ia mesti menjadi sebahagian daripada cara kita memikirkan mengenai penjagaan kesihatan berkualiti.
“Ia bukan bermaksud mengurangkan penjagaan semata-mata untuk menjimatkan kos. Sebaliknya, ia adalah mengenai penyediaan jumlah penjagaan yang tepat, pada masa tepat, untuk pesakit yang sesuai serta dengan hasil yang tepat,” katanya.
-- BERNAMA