ANTAKYA: Satu lagi gempa bumi kuat melanda wilayah sempadan Türkiye dan Syria pada Isnin.

Gempa kali ini berkekuatan magnitud 6.3 pada kedalaman hanya 2 kilometer (km), kata Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC).

Pusat gempa dikesan berhampiran bandar Antakya di selatan Turkiye di mana gegarannya turut dirasai di Syria, Mesir dan Lubnan.

Gempa pada jam 8.04 malam (1.04 pagi waktu Malaysia) ini turut diikuti beberapa gegaran susulan termasuk satu gempa bumi berukuran 5.8 magnitud.

Gempa kali ini berlaku hanya dua minggu selepas kawasan itu musnah akibat gegaran lebih kuat yang mengorbankan lebih 47,000 orang dan merosakkan serta memusnahkan ratusan ribu kediaman.

Menteri Dalam Negeri Süleyman Soylu mengumumkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 213 cedera selepas beberapa bangunan yang sudah rosak dalam gempa bumi sebelumnya runtuh.

Laporan berita menyatakan mangsa terpaksa tinggal di kediaman yang rosak kerana ketiadaan khemah yang mencukupi untuk mereka di luar.

Ahli geologi dari Universiti Teknikal İstanbul, Prof Okan Tüysüz, memberitahu NTV gempa bumi kali ini adalah berbeza dan bukan gempa susulan.

Rakaman video menunjukkan orang ramai berlari dalam keadaan panik serta pasukan mencari dan menyelamat serta ambulans di jalan raya.

Terdahulu ahli seismologi telah memberi amaran bahawa gempa bumi 6 Februari boleh mencetuskan gegaran lain di rantau ini, meminta orang ramai menjauhi bangunan yang rosak.

Dalam gempa terdahulu, angka kematian direkod pada 41,156 di Türkiye, menurut AFAD Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan.

Korban tragedi dahsyat ini dijangka meningkat lagi setelah 385,000 pangsapuri musnah atau rosak teruk dan masih ramai yang belum ditemukan.

Antara mangsa yang terselamat daripada gempa bumi itu ialah kira-kira 356,000 wanita hamil yang memerlukan akses segera kepada perkhidmatan kesihatan, kata agensi kesihatan seksual dan reproduktif PBB (UNFPA).

Mereka termasuk 226,000 wanita di Türkiye dan 130,000 di Syria, kira-kira 38,800 daripadanya dijangka bersalin bulan depan.

Ramai daripada mereka berteduh di kem atau terdedah kepada suhu sejuk dan bergelut untuk mendapatkan makanan atau air bersih.

Presiden Tayyip Erdogan dalam pada itu berkata pembinaan hampir 200,000 pangsapuri di 11 wilayah Türkiye yang dilanda gempa bumi akan bermula bulan depan.

Di Syria, kebanyakan kematian berlaku di barat laut di mana dilaporkan 4,525 orang telah terbunuh.

Kawasan itu dikawal oleh pemberontak yang berperang dengan pasukan yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad, menyukarkan usaha bantuan.

Pegawai Syria berkata 1,414 orang terbunuh di kawasan di bawah kawalan kerajaan Bashar al-Assad.