WELLINGTON: Gempa bumi berkekuatan 8.1 pada skala Richter melanda pesisir pantai New Zealand berhampiran Kepulauan Kermadec pada Jumaat, memaksa ribuan penduduk berpindah dan mencetuskan amaran tsunami di seluruh Pasifik Selatan.

Gempa itu adalah yang paling besar dalam rangkaian gegaran yang melanda wilayah itu dalam tempoh beberapa jam, termasuk dua gegaran sebelumnya yang mencatat magnitud 7.4 dan 7.3.

"Harap semua orang baik-baik saja," tulis Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern di Facebook.

Agensi Pengurusan Kecemasan Nasional New Zealand mengeluarkan amaran agar penduduk berpindah ke tempat yang lebih tinggi kerana terdapat kemungkinan berlakunya tsunami.

"Mereka yang tinggal berdekatan dengan pantai mesti bergerak segera ke tanah tinggi terdekat, sejauh mungkin ke daratan. Jangan duduk di rumah.

"Gegaran mungkin tidak dirasakan di beberapa daerah, tetapi evakuasi harus segera dilakukan kerana tsunami mungkin terjadi, "demikian kenyataan agensi itu.

Amaran Tsunami | Penduduk cemas alami gegaran kuat

Belum ada laporan mengenai kerosakan serius atau kemalangan jiwa.

Ia dapat dirasakan di seluruh New Zealand dengan penduduk di bandar-bandar besar seperti Auckland, Wellington dan Christchurch turut melaporkan gegaran.

Pada tahun 2011, gempa dengan magnitud 6.3 melanda bandar Christchurch, menyebabkan 185 orang maut dan memusnahkan sebahagian besar pusat bandarnya.