MANILA: Lebih 40 mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan sebuah bangunan sembilan tingkat di General Santos City yang roboh akibat gempa bumi kuat melanda selatan Filipina pada pagi Isnin.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dengan lebih 100 anggota digerakkan ke lokasi bagi mengesan serta mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap.
Menurut pihak berkuasa Filipina, lebih 20 individu berjaya diselamatkan setakat ini, manakala usaha menyelamat baki mangsa diteruskan dalam keadaan yang mencabar.
Laporan media tempatan menyebut bangunan tersebut runtuh akibat gegaran kuat yang dirasai di beberapa kawasan selepas gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Sarangani di selatan Filipina sekitar jam 7.37 pagi.
Pasukan penyelamat menggunakan pelbagai aset termasuk peralatan pengesan khas bagi mengesan mangsa di bawah timbunan konkrit dan serpihan bangunan.
Bagaimanapun, operasi SAR berdepan kesukaran apabila sebahagian aset dan anggota terpaksa diagihkan ke beberapa kawasan lain yang turut terjejas akibat gempa bumi tersebut.
Pasukan perubatan turut diletakkan pada tahap kesiapsiagaan maksimum berikutan jumlah mangsa cedera yang semakin meningkat akibat dihempap runtuhan dan terkena serpihan bangunan.
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengesahkan jumlah korban atau tahap kerosakan keseluruhan.