DUNIA
Gempa bumi Rusia: Hawaii laksana pemindahan besar-besaran susulan amaran tsunami

Ribuan penduduk pesisir Hawaii, termasuk di Oahu dan Honolulu, diarahkan berpindah ke kawasan tinggi. -Foto Reuters
HONOLULU: Ribuan penduduk di kawasan pesisir Hawaii diarahkan berpindah ke kawasan lebih tinggi selepas amaran tsunami dikeluarkan berikutan gempa bumi kuat berukuran 8.7 magnitud yang melanda Semenanjung Kamchatka, Rusia awal pagi tadi.
Ringkasan AI
- Gempa bumi berkekuatan 8.7 magnitud melanda Semenanjung Kamchatka, Rusia, mencetuskan amaran tsunami di Hawaii dengan gelombang dijangka setinggi lebih 3 meter.
- Ribuan penduduk pesisir Hawaii, termasuk di Oahu dan Honolulu, diarahkan berpindah ke kawasan tinggi, manakala operasi lapangan terbang dan pelabuhan digantung sebagai langkah berjaga-jaga.
- Amaran tsunami turut dikeluarkan untuk Jepun, Ecuador, Rusia, dan pantai barat Amerika Syarikat, menjadikan insiden ini sebagai salah satu ancaman tsunami global terbesar tahun ini.
Siren amaran tsunami telah dibunyikan di seluruh Honolulu, manakala penduduk diarahkan berpindah ke kawasan tinggi atau ke tingkat empat bangunan yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 tingkat.
Lapangan Terbang Hilo turut menggantung operasi penerbangan komersial bagi menyokong usaha pemindahan dari kawasan Keaukaha.
Pihak Berkuasa Pantai Amerika Syarikat turut mengarahkan semua kapal meninggalkan pelabuhan di seluruh Kepulauan Hawaii sebagai langkah berjaga-jaga.
Visual dari media sosial menunjukkan kesesakan lalu lintas yang teruk di Oʻahu dan pusat bandar Honolulu apabila penduduk bergegas meninggalkan kawasan pesisir.
Gempa bumi yang berlaku di luar pesisir Kamchatka itu turut mencetuskan amaran tsunami di Jepun, Ecuador, Rusia dan sepanjang pantai barat Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa Hawaii menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, mengikuti arahan rasmi dan tidak kembali ke kawasan pemindahan sehingga pengesahan keselamatan diberikan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami