JUMLAH kematian mangsa gempa bumi dahsyat yang melanda kawasan sempadan Turkiye-Syria kini menghampiri angka 42,000 pada Jumaat.

Di Turkiye sahaja, 36,187 orang maut di 11 wilayah, lapor agensi berita Anadolu yang memetik kenyataan pihak berkuasa bencana AFAD.

Di Syria pula, angka korban disahkan ialah 5,800 menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 41,838.

Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dalam misi yang masuk hari ke-10.

Gempa pertama berukuran 7.8 magnitud dan gegaran susulan 7.5 magnitud yang melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu telah meranapkan lebih 5,000 bangunan di kedua-dua negara.

Secara keseluruhan, terdapat lebih 3,800 gegaran susulan direkod hingga kini, kata AFAD dalam satu kenyataan pada lewat Rabu.

Terkini, penduduk di barat laut Syria melaporkan gegaran baharu yang dirasai selama kira-kira 15 saat pada Khamis.

Gegaran berukuran 5.1 magnitud yang dilaporkan berpusat di Antakya di selatan Turki itu mendorong orang ramai kembali ke jalan raya setelah bimbang rumah mereka bakal runtuh.